MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang pekerja hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri perempuannya dalam dua kejadian berasingan pada Mac dan Jun lalu.
Tertuduh berusia 32 tahun membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 15 tahun di sebuah rumah di Taman Permatang Pasir Permai, dalam daerah Melaka Tengah.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qayyum Ramlan mencadangkan jaminan RM18,000 dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta dilarang mendekati mangsa.
Peguam, Ishak Kari yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan jaminan pada kadar rendah kerana jaminan hanya bertujuan memastikan kehadiran anak guamnya sepanjang prosiding mahkamah.
Menurutnya, tertuduh memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis sebaik dipanggil membantu siasatan, termasuk sepanjang tempoh reman selama tujuh hari.
Beliau berkata, keluarga tertuduh sedang berusaha mengumpulkan dana bagi membayar jaminan, namun berdepan kekangan kewangan memandangkan isterinya tidak bekerja, manakala abangnya yang membantu juga mempunyai tanggungan keluarga sendiri.
Katanya, tertuduh merupakan pencari nafkah utama keluarga yang mempunyai empat anak, termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) berusia sembilan tahun.
"Tertuduh bekerja di sebuah hotel dengan gaji asas RM1,700 sebulan. Dia juga mempunyai pendapatan sampingan, namun selepas mengalami masalah cakera tergelincir (slip disc), dia tidak lagi mampu melakukan kerja-kerja berat dan kini bergantung sepenuhnya kepada pendapatan utama.
Peguam itu turut memaklumkan bahawa tertuduh dan mangsa telah tinggal berasingan sejak kira-kira 10 bulan lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta mengenakan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.