Kebimbangan kitaran hutang baharu

Iklan
Antara perkhidmatan tunai BNPL yang diiklankan secara berleluasa di platform media sosial

KEMUDAHAN Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) kini menunjukkan perubahan fungsi dalam kalangan sebahagian pengguna apabila had kredit tersebut digunakan untuk mendapatkan wang tunai segera menerusi perkhidmatan 'cash out'.

Tinjauan di media sosial mendapati perkhidmatan 'cash out' BNPL kini dipromosikan secara terbuka oleh individu atau ejen yang menawarkan pertukaran had kredit kepada wang tunai dengan mengenakan caj perkhidmatan antara 5 hingga 33 peratus daripada jumlah tunai yang dikeluarkan, bergantung pada platform yang digunakan.

Iklan
Iklan

Lebih membimbangkan, terdapat pengguna yang mula beralih kepada aplikasi pinjaman digital yang menawarkan proses permohonan mudah dan kelulusan dalam tempoh singkat bagi pembiayaan sekurang-kurangnya RM1,000.

Kadar faedah serendah 3 peratus dengan tempoh bayaran balik antara enam hingga 12 bulan merupakan antara tawaran yang menyebabkan ramai individu yang terdesak mudah terpengaruh untuk mendapatkan wang tunai segera.

Iklan

Kredit digital kini menjadi 'alat' bagi memastikan aliran tunai harian tidak terputus.

Trend tersebut mencerminkan perubahan corak ekonomi pengguna apabila kemudahan kredit digital kini bukan lagi sekadar membantu pembelian barangan atau perkhidmatan, sebaliknya menjadi alat untuk memastikan aliran tunai harian tidak terputus.

Iklan

Kaedah ini menyebabkan sebahagian pengguna bergantung kepada kredit bagi menampung keperluan hidup sehingga tiba hari gaji berikutnya.

Tanpa disedari, keadaan ini mewujudkan satu kitaran baharu, iaitu BNPL digunakan terlebih dahulu, diikuti perkhidmatan 'cash out' untuk mendapatkan wang tunai, sebelum pengguna beralih pula kepada pinjaman digital bagi menampung komitmen kewangan sedia ada.

Profesor Ekonomi, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Law Siong Hoo berkata, perkembangan tersebut menunjukkan tanda-tanda bahawa Malaysia sedang bergerak ke arah sebuah masyarakat yang bergantung kepada kredit (credit-first society).

Siong Hoo 

“Namun, kita masih belum berada pada tahap tersebut. Apa yang lebih membimbangkan ialah perubahan tingkah laku pengguna apabila kredit digital semakin menjadi pilihan utama untuk mengurus aliran tunai harian berbanding menggunakan simpanan sendiri.

“Akibatnya, ramai pengguna tidak lagi bertanya sama ada mereka mampu membeli sesuatu, sebaliknya sama ada mereka mampu membayar ansuran pada bulan hadapan,” katanya kepada Sinar Bisnes.

Beliau menambah bahawa kemunculan perkhidmatan 'cash out' BNPL telah mengubah fungsi asal BNPL daripada kaedah pembayaran kepada sumber pinjaman tunai jangka pendek.

Menurut beliau, sekiranya kemudahan tersebut digunakan untuk menampung perbelanjaan harian atau membayar hutang sedia ada, pengguna berisiko terjerumus ke dalam kitaran hutang yang sukar diputuskan.

“Walaupun jumlah pembiayaan BNPL masih kecil berbanding keseluruhan hutang isi rumah negara, kadar pertumbuhan penggunaannya adalah sangat pantas.

“Ini menunjukkan bahawa kredit digital semakin menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat, khususnya dalam kalangan golongan muda,” katanya.

Beliau berkata, data rasmi menunjukkan bahawa sebahagian besar penggunaan BNPL di Malaysia tidak lagi tertumpu kepada pembelian barangan mewah. Sebaliknya, ia digunakan untuk perbelanjaan harian seperti makanan, barangan runcit, pengangkutan dan perkhidmatan, dengan purata nilai transaksi sekitar RM91.

“Peralihan daripada simpanan kepada kredit bukan berpunca daripada satu faktor sahaja, tetapi hasil gabungan tekanan kos sara hidup, masalah aliran tunai, kemudahan akses kepada kredit digital serta perubahan tingkah laku pengguna.

“Proses permohonan yang cepat, kelulusan hampir serta-merta dan promosi seperti sifar peratus faedah atau konsep ‘bayar kemudian’ telah mengurangkan halangan psikologi untuk berhutang.

“Ramai pengguna hanya melihat jumlah ansuran bulanan yang kecil tanpa mengambil kira jumlah komitmen hutang secara keseluruhan,” katanya.

Kesan kepada ekonomi

Mengulas lanjut, Siong Hoo menjelaskan bahawa dalam jangka panjang, pendapatan boleh guna akan berkurangan kerana peningkatan pembayaran hutang, sekali gus menjejaskan penggunaan domestik dan pertumbuhan ekonomi.

“Dari sudut makroekonomi, Malaysia juga merupakan antara negara yang mempunyai tahap hutang isi rumah yang agak tinggi di rantau ini. Sehingga pertengahan tahun 2025, hutang isi rumah berjumlah sekitar RM1.67 trilion atau bersamaan 84.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Walaupun kemampuan pembayaran balik isi rumah secara keseluruhan masih berada pada tahap yang baik, peningkatan pergantungan kepada kredit digital perlu dipantau agar tidak menambah tekanan kewangan kepada kumpulan yang lebih terdedah,” katanya.

Pengguna kini berisiko terperangkap dalam kitaran hutang yang sukar diputuskan sekiranya terus menggunakan kredit untuk menutup hutang lama.

Sehubungan itu, beliau berkata, kredit sepatutnya menjadi alat pengurusan kewangan sementara dan bukannya sumber kewangan utama untuk meneruskan kehidupan harian.

Justeru, tegas beliau, pengguna tidak seharusnya menganggap kemudahan kredit sebagai sumber pendapatan tambahan.

“Walaupun kredit digital boleh membantu aliran tunai dalam jangka pendek, ia tidak boleh menggantikan pendapatan atau simpanan.

“Jika hutang digunakan untuk menampung kehidupan harian, ini bermakna kita sedang meminjam daripada masa depan untuk membayar keperluan hari ini,” katanya.