KUALA LUMPUR - Malaysia dan Thailand akan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pada tahun ini sebagai langkah memperkukuh keselamatan serantau serta memperluaskan kerjasama dalam pembangunan industri pertahanan kedua-dua negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk menyegerakan proses memuktamadkan dokumen berkenaan bagi membolehkan kerjasama pertahanan dipertingkatkan ke tahap lebih strategik dan menyeluruh.
"Antara fokus utama yang diberikan perhatian menerusi MoU tersebut adalah usaha membangunkan industri pertahanan tempatan yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Mohamed Khaled berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri lawatan pengenalan Menteri Pertahanan Thailand Leftenan Jeneral Adul Boonthumjaroen di Kementerian Pertahanan di sini pada Selasa.
Mohamed Khaled berkata, sebagai negara jiran dan anggota ASEAN, Malaysia dan Thailand perlu terus mengekalkan hubungan rapat khususnya dalam bidang pertahanan memandangkan kedua-dua negara berkongsi pelbagai cabaran keselamatan yang sama.
"Kedua-dua negara juga berkongsi tanggungjawab untuk mempertahankan prinsip-prinsip ASEAN dalam memastikan rantau Asia Tenggara kekal aman, stabil dan sejahtera.
"Kita sentiasa menekankan pendekatan ASEAN dalam menyelesaikan apa sahaja pertikaian atau cabaran yang dihadapi dan atas sebab itulah kita mengalu-alukan kunjungan ini bagi meningkatkan lagi hubungan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara," katanya.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut membincangkan kerjasama pengawasan dan kawalan sempadan yang dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Sempadan Am Malaysia-Thailand atau General Border Committee (GBC).
Mohamed Khaled berkata, kerjasama tersebut penting bagi memastikan sempadan kedua-dua negara sentiasa selamat daripada ancaman seperti penyeludupan, kemasukan haram dan aktiviti yang boleh memudaratkan keselamatan kedua-dua negara.
"Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat GBC Ke-57 pada tahun ini yang dijangka membincangkan pelbagai isu termasuk keselamatan sempadan, operasi bersama angkatan tentera, pembangunan sosioekonomi kawasan sempadan serta pengurusan bencana," katanya.
Tambah beliau, Malaysia turut mengalu-alukan penyertaan berterusan pegawai tentera Thailand dalam Program Kerjasama Pertahanan Malaysia (MDCP) yang bertujuan memperkukuhkan diplomasi pertahanan serta meningkatkan hubungan profesional antara pegawai tentera kedua-dua negara.
"Melalui program ini, pegawai tentera Thailand berpeluang mengikuti pelbagai kursus dan latihan di Malaysia sekali gus mewujudkan jaringan kerjasama antara pegawai tentera kedua-dua negara," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata, Malaysia turut menyambut baik pelantikan Thanut Suvarnananda sebagai Ketua Dialog Keamanan Selatan Thailand yang baharu.
Beliau berkata, Malaysia akan terus memberikan kerjasama dan sokongan terhadap usaha membawa keamanan dan kestabilan di wilayah selatan Thailand.
"Kita menyokong usaha supaya kawasan Selatan Thai berada dalam keadaan aman dan stabil dan berharap pelantikan baharu ini dapat membantu menjayakan proses keamanan yang sedang berjalan," katanya.