Wujud buli verbal, siber tetapi tiada buli fizikal terhadap Zara Qairina - Pakar

Iklan
Tiada sebarang bukti yang menunjukkan Zara Qairina menjadi mangsa buli fizikal oleh rakan-rakan di sekolah menengahnya.

KOTA KINABALU - Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Dr Noor Aishah Rosli memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa wujud unsur buli verbal dan buli siber terhadap Allahyarham Zara Qairina Mahathir berdasarkan temu bual serta penelitian dokumen yang dilakukannya.

Bagaimanapun, saksi ke-76 itu berkata, beliau tidak menemukan sebarang bukti yang menunjukkan remaja berusia 13 tahun itu menjadi mangsa buli fizikal oleh rakan-rakan di sekolah menengahnya.

Iklan
Iklan

"Semasa saya menemu bual kawan sekolah menengah dan melihat dokumen, saya mendapati wujud unsur buli verbal, saya tak nampak buli fizikal.

"Buli melabelkan dia, dipulaukan, ada juga ditulis di dinding, buli siber pun berlaku dalam TikTok dia, ada kawan-kawan 'tag' nama, cuma saya tidak boleh akses semua sebab telah dipadam.

Iklan

"Berlaku buli verbal dan buli siber terhadap Zara, Zara pernah sebut kakak-kakak yang jahat, jumpa di pusat beli-belah mengelak, di sekolah ada jamuan Hari Raya tetapi dia tidak tunjukkan kepada ibunya, tapi dia memang tak selesa dengan keadaannya," katanya ketika memberi keterangan di Mahkamah Koroner, di sini, pada Isnin.

Sebelum itu, peguam Shahlan Jufri bertanyakan mengenai elemen buli yang dimasukkan dalam laporan pakar tersebut.

Iklan

Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu 'barcode' dan vape yang dikaitkan dengan keadaan emosi serta psikologi Zara, Dr Noor Aishah berkata, kedua-dua perkara itu telah diambil kira dalam penyediaan profil psikologi remaja berkenaan.

"Dalam menyediakan profiling ini saya masukkan semua berkaitan dengan Zara termasuk barcode dan vape. Barcode ini tingkah laku yang sedang 'trend', suka-suka.

"Saya terdedah dengan barcode sejak tahun 2012 semasa mengikuti latihan intensif di Miami. Bila saya balik dari Amerika Syarikat, barulah gelombang itu sampai ke Malaysia. Barcode bukan untuk tujuan bunuh diri, ia salah satu cara untuk 'coping'.

"Mereka tak sakit menoreh tangan, mereka pun tahu ia satu budaya yang biasa dibuat untuk seronok-seronok saja. Saya ada klien yang buat barcode kerana tekanan peperiksaan. Selepas lulus pun masih buat sebab sudaah terbiasa," jelasnya.

Jelasnya lagi, berdasarkan sejarah Zara Qairina, tiada isu perkembangan yang menunjukkan remaja itu bermasalah.

"Tetapi dia telah membina satu 'lifestyle' barcode. Benda ini tak boleh dikaitkan dengan bunuh diri. Masa dulu pun belum wujud barcode tetapi kes bunuh diri sudah ada.

"Saya ingin tegaskan, barcode lebih kepada lifestyle. Kalau seseorang benar-benar mahu bunuh diri, mereka tahu cara yang betul," katanya.

Menjawab soalan lanjut sama ada pengalaman 'barcode' Zara Qairina boleh dikaitkan dengan perbuatan membunuh diri, Dr Noor Aishah menegaskan perkara itu tidak tepat.

"Itu saya boleh katakan tidak berkaitan," katanya.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa amalan 'barcode' boleh dijadikan petunjuk seseorang mengalami kemurungan.

"Kemurungan itu adalah satu diagnosis. Zara tidak ada kemurungan atau halusinasi dan sebagainya.

"Kita tidak boleh mengatakan hanya kerana barcode dibuat, seseorang itu mengalami depression. Dia belajar daripada kawan-kawan juga, untuk lifestyle, ikut-ikutan," katanya.

Shahlan bersama rakan sepasukannya, Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James hadir sebagai pihak berkepentingan yang mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.

Sementara itu, pasukan pegawai pengendali terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus dan Hakim Koroner ialah Amir Shah Amir Hassan.

Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.