Perpisahan ibu bapa bukan punca apa yang menimpa Zara Qairina - Pakar

Iklan
Dr Noor Aishah (kiri) bersama pasukan peguam di Mahkamah Koroner, di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Dr Noor Aishah Rosli berpandangan bahawa perpisahan ibu bapa bukan punca kepada apa yang menimpa Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Saksi ke-76 itu menyuarakan pandangan tersebut ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufri yang merujuk kepada tanggapan sesetengah pihak bahawa perpisahan ibu bapa menjadi antara faktor penyumbang kepada masalah yang dihadapi remaja berkenaan.

Iklan
Iklan

"Pada saya perpisahan ibu dan ayah tu bukan menjadi punca kepada apa yang berlaku pada Zara eh. Sebenarnya pertama, ayah itu telah berjauhan dengan ibu semasa Zara berusia enam tahun, yang tidak pernah ke rumahnya.

"Yang kedua, Zara tidak ada peristiwa yang melihat ayah ibunya bergaduh. Dia tak ada trauma di situ, bergaduh ataupun keganasan rumahtangga, dia tidak melihat semua itu.

Iklan

"Yang ketiga, Zara dikelilingi oleh orang yang sayangkan dia. Walaupun dia anak tunggal, berdua dengan ibunya, tapi dia ada bapa saudara, ibu saudara, pengasuh yang rapat dengannya," katanya ketika memberi keterangan di Mahkamah Koroner, di sini, pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa tidak timbul isu perpisahan atau perceraian ibu bapa sebagai faktor kepada apa yang berlaku terhadap Zara Qairina.

Iklan

"Sebab faktor persekitaran dia dibesarkan itu sangat positif, sehingga tak ada ruang untuk rasa sedih, kecewa, atau membandingkan diri dia dengan orang lain," jelasnya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Aishah berkata, kandungan diari Zara tidak boleh dijadikan asas tunggal untuk membuat kesimpulan mengenai keadaan psikologi remaja itu kerana ia hanyalah luahan emosi pada sesuatu ketika.

"Ketika itu, dia geram, sepuas-puas emosinya dia menulis perkataan-perkataan yang sebegitu. Tetapi itu bukan menentukan sama ada Zara tadi tertekan ataupun tidak ataupun membunuh diri.

"Sebenarnya bukan disebabkan faktor itu, banyak faktor lain yang kita kena lihat, kalau kita bersandarkan diari semata-mata, sebab kita percaya Zara yang meluahkan, itu adalah satu tanggapan yang sangat lemah, tak kuat.... Itu pada saya adalah satu tanggapan yang sangat lemah, dan kita nampak sangat tidak memahami psikologi seorang manusia itu," katanya.

Sementara itu, ketika diminta menjelaskan mengapa tiada analisis dibuat terhadap bapa Zara Qairina, Dr Noor Aishah berkata, beliau tidak pernah bertemu dengan lelaki berkenaan selain dimaklumkan bahawa hubungan antara bapa dan anak itu hanya melalui WhatsApp sekali-sekala.

Sebelum itu, Shahlan merujuk kepada keterangan Dr Noor Aishah bahawa gaya keibubapaan memainkan peranan penting dalam memahami perkembangan serta emosi kanak-kanak dan remaja, namun tiada analisis keibubapaan dibuat terhadap bapa Zara.

"Pertama, saya tidak berjumpa dengan bapa Zara. Yang kedua, saya difahamkan oleh ibu Zara, mereka tidak berjumpa. Mereka hanya berhubung melalui WhatsApp saja sekali sekala begitu," jelasnya.

Beliau berkata, sejak kecil Zara diberi peluang untuk berhubung dengan bapanya dan kali terakhir mereka bertemu secara bersemuka adalah ketika remaja itu berusia lapan tahun.

"Kalau tidak silap saya, mereka berjumpa secara bersemuka kali terakhir semasa Zara berusia lapan tahun, ada saya tulis dalam laporan saya," katanya.

Ditanya sumber maklumat mengenai hubungan Zara dengan bapanya, Dr Noor Aishah berkata, ia diperoleh daripada ibu Zara Qairina selain laporan yang disediakan pakar lain berkaitan lelaki tersebut.

Sebelum itu, Shahlan bersama rakan sepasukannya, Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James hadir sebagai pihak berkepentingan yang mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.

Sementara itu, pasukan pegawai pengendali terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus dan Hakim Koroner ialah Amir Shah Amir Hassan.

Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.