PUTRAJAYA – Prestasi kurang memberangsangkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru- baru ini berpunca daripada kegagalannya sendiri menunaikan komitmen reformasi yang pernah dijanjikan kepada rakyat, bukannya disebabkan kemunculan parti Bersama yang didakwa memecahkan undi.
Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, adalah tidak tepat untuk menyalahkan Bersama, sebuah parti yang baru ditubuhkan kira-kira 53 hari sebelum pilihan raya, sebagai punca utama kemerosotan prestasi PH.
Sebaliknya, beliau berkata, keputusan PRN Johor mencerminkan kekecewaan pengundi terhadap janji-janji reformasi yang masih belum ditunaikan.
"Pengundi melahirkan kekecewaan terhadap janji yang tidak ditunaikan, bukannya sekadar bertindak balas terhadap kewujudan sebuah lagi parti politik," katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Menurut Charles, keputusan PRN Johor tidak seharusnya dilihat sebagai satu kekalahan terpencil, sebaliknya membawa mesej politik yang jelas kepada kepimpinan PH.
Beliau turut berpandangan bahawa strategi lama menggunakan Pas sebagai"momok" berunsur keagamaan bagi mengukuhkan sokongan pengundi bukan Melayu dilihat semakin hilang keberkesanannya.
"Rasa takut bukan lagi pengganti kepada tadbir urus yang baik, reformasi dan penyampaian dasar," ujar Charles.
Dalam masa sama, beliau berkata, PH juga tidak lagi boleh menganggap sokongan pengundi bukan Melayu sebagai sesuatu yang terjamin.
Katanya, keputusan pilihan raya menunjukkan semakin ramai pengundi bukan Melayu, khususnya dalam kalangan generasi muda, lebih terbuka memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dan Bersama, manakala pengundi yang lebih berusia masih cenderung bersama PH.
Sehubungan itu, Charles berkata, PH perlu kembali kepada agenda reformasi yang menjadi asas kejayaannya sebelum ini jika mahu mengembalikan keyakinan rakyat.
Beliau mencadangkan supaya kerajaan mendedahkan laporan siasatan terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebagai bukti komitmen terhadap akauntabiliti institusi.
Selain itu, beliau turut menggesa supaya satu pelan pembangunan sosioekonomi baharu diperkenalkan bagi menangani cabaran masyarakat India, di samping mewujudkan pakej perlindungan sosial yang menyeluruh untuk kira-kira dua juta pekerja gig meliputi aspek gaji sara hidup, penjagaan kesihatan dan simpanan persaraan.
"Ruang untuk PH mengubah haluan semakin sempit. Adalah satu kesilapan jika menganggap Johor sekadar satu kekalahan pilihan raya negeri.
"Ia juga merupakan satu referendum terhadap janji-janji yang dimungkiri. Jika mesej ini terus diabaikan, Negeri Sembilan mungkin menjadi bab seterusnya dalam kisah yang sama," katanya.
Dalam keputusan PRN Johor Sabtu lalu, PH hanya memenangi lapan kerusi daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan. Jumlah itu merangkumi enam kerusi DAP dan masing- masing satu oleh PKR dan Amanah.
BN membentuk majoriti mudah selepas 48 kerusi daripada jumlah keseluruhan DUN, sekali gus menyaksikan peningkatan lapan kerusi berbanding PRN 15 pada tahun 2022.