Faktor situasi sebelum kematian Zara perlu diberi perhatian oleh mahkamah - Pakar

Iklan
Dr Noor Aishah

KOTA KINABALU - Faktor situasi yang berlaku dalam tempoh beberapa hari sebelum kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir perlu diberi perhatian dan dinilai secara menyeluruh oleh Mahkamah Koroner kerana ia berpotensi memberi gambaran lebih tepat mengenai keadaan sebenar yang dihadapi remaja itu sebelum kejadian.

Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Dr Noor Aishah Rosli berkata, faktor tersebut mungkin mempunyai kaitan yang lebih rapat dari sudut masa dan konteks berbanding isu perkembangan awal atau catatan lama yang tidak semestinya mencerminkan keadaan Zara ketika kejadian.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan maklumat mengenai 14 hingga 16 Julai 2025, terdapat perubahan keadaan dalam tempoh hampir dengan kejadian, termasuk isu berkaitan barang hilang, pemeriksaan barang, Zara dilihat menangis atau murung oleh beberapa saksi, dan keadaan beliau yang berbeza daripada kebiasaannya.

"Saya juga mengambil kira bahawa beberapa saksi yang mengenali Zara menyatakan mereka sukar mempercayai bahawa Zara akan mengambil tindakan menamatkan nyawa sendiri kerana Zara dikenali sebagai seorang yang ceria, aktif, kuat semangat, mempunyai cita-cita, dan mempunyai banyak faktor perlindungan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika membacakan keterangan bertulisnya pada prosiding inkues di Mahkamah Koroner di sini pada Isnin.

Dr Noor Aishah berkata, berdasarkan penilaiannya terhadap keseluruhan profil perkembangan hidup Zara sehingga berusia 13 tahun, remaja itu bukan seorang kanak-kanak yang secara konsisten menunjukkan corak kemurungan berat, pengasingan diri, ketiadaan harapan atau mempunyai niat membunuh diri yang stabil.

Iklan

"Berdasarkan data yang saya analisis, tidak terdapat sejarah percubaan bunuh diri yang jelas dalam kehidupan Zara sebelum kejadian.

"Dalam konteks teori psikologi berkaitan risiko bunuh diri, termasuk model interpersonal, penilaian perlu melihat sama ada wujud rasa tidak diterima, rasa menjadi beban, kemampuan untuk mencederakan diri secara serius, serta gabungan faktor akut yang membawa kepada risiko.

"Dalam kes Zara, data yang tersedia tidak menunjukkan secara kukuh bahawa keseluruhan elemen tersebut wujud secara konsisten dan dominan sebelum kejadian," katanya.

Menurutnya, data yang tersedia lebih menyokong keperluan untuk menilai secara berhati-hati faktor luaran, situasional dan interpersonal yang berlaku dalam persekitaran sekolah serta asrama sebelum kejadian, berbanding membuat kesimpulan mudah bahawa kematian Zara Qairina berpunca daripada konflik keluarga atau keadaan psikologi dalaman semata-mata.

"Saya juga berpendapat bahawa hubungan Zara dengan ibunya tidak wajar dilihat sebagai faktor utama secara terasing.

"Sebaliknya, hubungan tersebut secara keseluruhan lebih banyak menunjukkan elemen kelekatan, kasih sayang, sokongan emosi dan komunikasi terbuka," katanya.