Sultan Selangor tinjau LRT3 Shah Alam

Iklan
Sultan Selangor (kiri) dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat meninjau sendiri kemudahan pengangkutan awam moden yang menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia pada Isnin.

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menaiki Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam pada Isnin bagi meninjau sendiri kemudahan pengangkutan awam moden yang menghubungkan Bandar Utama dengan Johan Setia.

Baginda yang diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah tiba di Stesen LRT Bandar Utama pada jam 10.30 pagi sebelum memulakan perjalanan menaiki tren kira-kira jam 10.40 pagi.

Iklan
Iklan

Keberangkatan baginda disambut oleh barisan pengurusan tertinggi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Amir Hamdan.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Strategi dan Pembangunan) Prasarana, Dr Prodyut Dutt; Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Datuk Imran Salim serta Pengasas dan Penasihat Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Iklan

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Selangor, Sultan Sharafuddin menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada Prasarana atas kejayaan merealisasikan serta melancarkan operasi LRT3 yang disifatkan bakal memberikan manfaat besar kepada rakyat, khususnya penduduk Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya.

Baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana projek infrastruktur pengangkutan awam yang sekian lama dinantikan akhirnya dapat direalisasikan bagi meningkatkan mutu kehidupan rakyat, mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, selesa dan mampan.

Iklan

Menurut baginda, alangkah baiknya sekiranya laluan itu dapat disiapkan mengikut perancangan asal memandangkan ia merupakan kemudahan pengangkutan awam yang penting untuk keselesaan rakyat.

Bagaimanapun, baginda memuji kesabaran rakyat Selangor sepanjang tempoh kelewatan projek berkenaan dan percaya bahawa setiap perkara yang berlaku mempunyai hikmah.

Baginda turut menzahirkan harapan agar lima stesen yang sebelum ini ditangguhkan pembinaannya, iaitu Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik, dapat disiapkan kerana diyakini memberikan manfaat kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Sultan Sharafuddin turut merakamkan penghargaan kepada lebih 13,000 individu daripada pelbagai bidang kepakaran yang terbabit sepanjang tempoh pembinaan selama 10 tahun sembilan bulan sehingga projek itu berjaya direalisasikan.

“Secara puratanya, seramai 8,000 kakitangan bertugas di pelbagai lokasi pada satu-satu masa, terdiri daripada pengarah projek, jurutera, penyelia, juruteknik, tenaga mahir, pekerja pembinaan, pegawai keselamatan, pasukan logistik, kakitangan pentadbiran serta petugas sokongan yang melibatkan rakyat Malaysia dan pekerja dari luar negara,” titah baginda.

Menurut baginda, kejayaan sebenar LRT3 bukan hanya terletak pada pembinaan stesen, landasan dan tren, sebaliknya merupakan hasil dedikasi, profesionalisme serta komitmen ribuan tenaga kerja yang menjayakannya.

Pada masa yang sama, baginda berharap Prasarana terus memastikan operasi LRT3 berjalan lancar dan gangguan perkhidmatan dapat diminimumkan, selain menggesa rakyat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan itu bagi membudayakan penggunaan pengangkutan awam secara lebih meluas.

Laluan LRT3 sepanjang 37.8 kilometer itu merangkumi 20 stesen, termasuk jajaran bawah tanah sepanjang 2.5 kilometer, serta disepadukan dengan Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Kajang menerusi stesen pertukaran Bandar Utama dan Glenmarie 2.

Setiap tren mampu membawa sehingga 624 penumpang, manakala kemudahan Park N’ Ride yang menyediakan kira-kira 2,300 petak parkir di enam stesen terpilih dijangka menggalakkan lebih ramai pengguna beralih kepada pengangkutan awam.

LRT3 Laluan Shah Alam mula beroperasi pada 29 Jun lalu selepas dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus menjadi antara pemangkin utama sistem mobiliti dan pembangunan ekonomi di koridor barat Lembah Klang.