WYOMING – Seorang lelaki berusia 65 tahun cedera parah selepas ditanduk seekor bison jantan sebelum tercampak hampir 2.5 meter ke udara dalam kejadian di Taman Negara Yellowstone, Amerika Syarikat pada Jumaat.
Mangsa, Carl Isom-McDaniel, mengalami beberapa patah tulang dan dikejarkan ke hospital selepas diserang haiwan liar itu di kawasan perkhemahan Bridge Bay Campground berhampiran Tasik Yellowstone.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam waktu tempatan (Di Yellowstone malam keadaan masih terang akibat matahari lewat terbenam) ketika bison berkenaan dilaporkan berkeliaran dalam keadaan agresif sebelum beberapa kali mengejar pengunjung di kawasan perkhemahan.
Jurugambar hidupan liar, Mike MacLeod yang merakam kejadian itu berkata, bison tersebut dipercayai menjadi lebih agresif berikutan musim mengawan yang baru bermula.
Menurutnya, mangsa bersama cucunya pada mulanya berhenti untuk mengambil gambar bison berkenaan sebelum haiwan itu tiba-tiba mengejar mereka.
"Cucu mangsa sempat menyelamatkan diri, namun mangsa ditanduk pada bahagian pinggul sebelum tercampak hampir 2.5 meter ke udara," katanya.
MacLeod berkata, dia bersama beberapa pengunjung lain kemudian menjerit dan berlari ke arah bison itu bagi mengalih perhatiannya sehingga haiwan berkenaan berundur.
Mangsa diberikan bantuan awal sebelum ambulans Taman Negara Yellowstone tiba kira-kira 10 minit kemudian.
Setakat ini, pihak Taman Negara Yellowstone masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kejadian tersebut.
Pihak taman negara turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berada sekurang-kurangnya 23 meter dari bison kerana haiwan itu mampu berlari sehingga kira-kira 48 kilometer sejam walaupun berbadan besar, selain menjadi lebih agresif ketika musim mengawan.- Agensi