PERMOHONAN bagi kemasukan kanak-kanak ke Tahun Satu pada usia enam tahun sesi persekolahan 2027 mendapat sambutan walaupun pelaksanaannya masih menjadi perdebatan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat.
Data terkini menunjukkan seramai 73,386 murid berusia enam tahun didaftarkan untuk sesi persekolahan 2027, manakala jumlah kanak-kanak berusia tujuh tahun yang didaftarkan ialah 405,033 orang, menurut kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Secara keseluruhan, 478,419 permohonan diterima iaitu peningkatan 12.07 peratus berbanding enrolmen Tahun Satu 2026 yang hanya melibatkan kohort umur tujuh tahun.
Hakikatnya, kebanyakan kanak-kanak hari ini sudah terdedah kepada pendidikan awal seawal usia tiga atau empat tahun melalui tadika atau prasekolah. Justeru, sebahagian ibu bapa berpendapat anak mereka mampu menyesuaikan diri dengan alam persekolahan formal lebih awal.
Namun begitu, angka pendaftaran yang masih jauh lebih rendah berbanding kohort tujuh tahun menunjukkan masih ramai ibu bapa mengambil pendekatan berhati-hati sebelum membuat keputusan.
Bagi mereka, isu utama bukanlah umur semata-mata tetapi tahap kesediaan anak untuk berdepan persekitaran sekolah yang lebih mencabar.
Ada ibu bapa yang bimbang anak mereka belum benar-benar bersedia dari segi emosi, sosial dan kemahiran kendiri.
Pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Aliff Mohd Nawi turut memahami kebimbangan tersebut.
Menurut beliau, ramai ibu bapa bimbang anak mereka akan dianggap tercicir sekiranya masih belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) atau belum mampu mengurus diri dengan baik.
Malah, terdapat ibu bapa yang merasakan tekanan apabila menerima gambaran bahawa murid perlu memasuki Tahun Satu dalam keadaan sudah menguasai pelbagai kemahiran asas.
Akibatnya, ada yang memilih untuk menangguhkan pendaftaran kerana bimbang anak tidak dapat memenuhi jangkaan tersebut.
Dalam konteks ini, ibu bapa tidak seharusnya dipersalahkan. Setiap keluarga mempunyai pertimbangan tersendiri berdasarkan tahap perkembangan anak, latar belakang keluarga dan pengalaman masing-masing.
Apa yang penting ialah memastikan keputusan yang dibuat benar-benar mengambil kira kepentingan serta kesejahteraan anak.
Pada masa sama, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilihat bersedia menghadapi kemasukan dua kohort murid Tahun Satu pada 2027.
Antaranya melalui pembinaan 2,596 bilik darjah baharu melibatkan 838 sekolah menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) modular.
Selain itu, KPM turut mengumumkan pengambilan 3,150 guru secara Contract of Service (COS) bagi memenuhi keperluan semasa.
Walaupun jumlah murid berusia enam tahun yang mendaftar setakat ini hanya 73,386 orang, angka tersebut tetap memerlukan persiapan rapi.
Dengan perancangan yang sedang dilaksanakan, KPM dilihat mampu menampung pertambahan murid serta memastikan kelancaran sesi persekolahan 2027.
Kesimpulannya, perdebatan mengenai kemasukan Tahun Satu pada usia enam tahun dijangka terus berlangsung.
Namun persoalan yang lebih penting bukanlah sama ada anak itu berusia enam atau tujuh tahun, sebaliknya sama ada mereka benar-benar bersedia untuk memulakan perjalanan pendidikan formal.
Dalam hal ini, kerjasama antara ibu bapa, sekolah dan KPM menjadi kunci utama bagi memastikan setiap anak mendapat permulaan yang terbaik dalam dunia persekolahan.
*Roshlawaty Raieh ialah wartawan Sinar Bestari