TEHERAN - Situasi di Asia Barat terus tegang selepas Iran mengumumkan penutupan sepenuhnya Selat Hormuz dan melancarkan serangan misil serta dron berskala besar ke atas beberapa negara Teluk pada Ahad.
Tindakan agresif itu dilihat sebagai tindak balas terhadap kempen pencerobohan berterusan Amerika Syarikat (AS).
Siren amaran dan bunyi letupan kedengaran di Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Bahrain, sekali gus mengheret negara-negara Teluk itu ke dalam konflik yang semakin memuncak.
Kuwait memaklumkan mereka juga berusaha memintas serangan manakala Jordan mengesahkan tiga misil Iran jatuh di wilayahnya.
Sementara itu, beberapa lokasi di Musandam, Oman turut menjadi sasaran serangan dron.
Operasi menggempur beberapa negara Teluk itu dilancarkan selepas Pentagon mendakwa telah membedil sasaran di Teheran susulan tindakan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menyasarkan sebuah kapal kontena yang melalui laluan tidak sah di Selat Hormuz.
Iran menyifatkan insiden itu hanya sebagai 'tembakan amaran', tetapi tentera AS mendakwa Teheran telah melancarkan serangan terbuka ke atas sebuah kapal kontena berbendera Cyprus di Selat Hormuz.
Menurut IRGC, kapal berkenaan tidak mengendahkan arahan mereka supaya menggunakan koridor yang dibenarkan.
"Selat Hormuz akan ditutup sehingga pemberitahuan notis lanjut dan berakhirnya campur tangan AS di rantau ini," tegasnya.
Pada lewat Sabtu, Pusat Perintah Tentera AS (CENTCOM) mengesahkan pasukan mereka telah melancarkan serangan ketiga ke atas Teheran.
Kira-kira 140 sasaran dibedil termasuk lokasi peluru berpandu dan dron, keupayaan tentera laut, kemudahan penyimpanan peluru, rangkaian komunikasi serta lokasi pengawasan pantai.
Sejak konflik kembali memuncak, AS menyerang lebih 300 sasaran hingga mencetuskan respons tegas di bawah doktrin ketenteraan baharu Iran. - AFP