Retaknya keyakinan terhadap DAP dan isyarat penyatuan Melayu

Iklan
Pengundi Cina masih belum meninggalkan DAP sepenuhnya, tetapi sokongan itu jelas tidak lagi sekukuh dahulu.

KEPUTUSAN PRN Johor memperlihatkan satu isyarat politik yang penting. Barisan Nasional (BN) kembali mengukuhkan kedudukan, Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, menerima pukulan besar, manakala Perikatan Nasional (PN) gagal mempertahankan kedudukan yang pernah dimilikinya.

Dari sudut angka rasmi, BN menang besar dengan memperoleh 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor, manakala PH hanya memperoleh lapan kerusi. Keputusan ini bukan sekadar kemenangan BN, tetapi juga referendum senyap terhadap strategi, rekod dan daya tarikan PH-DAP di Johor.

Iklan
Iklan

Kekalahan DAP bukanlah kekalahan total, namun ia cukup untuk menghantar isyarat penting kepada penyokong BN, PN dan mereka yang mahu melihat politik perpaduan kaum di Malaysia dibina secara lebih seimbang. Secara umum, pengundi Cina masih belum meninggalkan DAP sepenuhnya, tetapi sokongan itu jelas tidak lagi sekukuh dahulu.

Walaupun DAP cuba memainkan sentimen lama seperti kebencian terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang pernah dimanipulasi ketika PRU15, serta naratif “Gelombang Hijau” yang merujuk kepada Pas, keputusan kali ini menunjukkan pendekatan tersebut tidak lagi menghasilkan kesan yang sama. Berdasarkan pemerhatian awal pola pengundian, sebahagian pengundi Cina mula kembali kepada BN, khususnya MCA, dalam kadar yang tidak boleh dianggap kecil.

Iklan

Jika dahulu sokongan Cina kepada BN berada pada tahap yang sangat rendah, kini terdapat tanda sekitar 10 hingga 15 peratus pengundi Cina mula kembali memberi undi kepada BN. Pada masa yang sama, wujud juga kelompok protes sekitar 10 hingga 15 peratus yang memilih untuk tidak keluar mengundi. Gabungan dua faktor ini cukup untuk meruntuhkan beberapa kubu DAP.

Perubahan ini dapat dilihat melalui kerusi yang bertukar tangan berbanding PRN 2022. Pertukaran tersebut menunjukkan satu pola penting: BN bukan sahaja mengukuhkan kedudukan di kawasan Melayu, tetapi turut mencatat kemajuan di kawasan campuran dan bukan Melayu.

Iklan

Lebih menarik, MCA dan MIC kembali menunjukkan tanda pemulihan. MCA, yang sebelum ini sering dikritik sebagai semakin lemah dalam politik Cina Johor, berjaya menewaskan DAP di beberapa medan penting seperti Jementah dan Tangkak yang sebelum ini dimenangi DAP. MIC pula menang di Bukit Batu, kerusi yang sebelum ini dimiliki PKR.

Perkembangan ini memberi isyarat bahawa pengundi bukan Melayu, termasuk sebahagian pengundi India dan pengundi muda, mula melihat BN sebagai pilihan yang lebih stabil berbanding PH. Dalam konteks ini, kekalahan PH bukan sekadar kekalahan calon, tetapi kemerosotan keyakinan terhadap jenama politik PH-DAP.

PKR pula berada dalam keadaan yang lebih sukar. Walaupun Presiden PKR yang juga Perdana Menteri kerap turun ke Johor, parti itu gagal mengekalkan daya tarikan di kerusi bukan Melayu dan campuran yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada kekuatan PH. PKR hanya berjaya memenangi satu kerusi, dan itupun di kawasan majoriti Melayu. Kedudukan ini membataskan kekuatan suara PKR dalam PH.

Tambahan pula, kerusi majoriti Melayu yang dimenangi PKR secara politiknya bukan kerusi yang benar-benar selamat. Ia masih boleh jatuh ke tangan UMNO atau Pas pada masa hadapan, bergantung kepada pola pengundian Melayu dan susunan politik semasa. Ini menunjukkan bahawa PH di Johor semakin bergantung kepada DAP, sedangkan DAP sendiri sedang kehilangan beberapa kawasan penting. Keadaan ini meletakkan PH dalam dilema strategik menjelang pilihan raya akan datang.

Bagi PN pula, keputusan ini memberikan pengajaran besar. PN gagal mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi pada PRN 2022. PAS tewas di Maharani, manakala BERSATU gagal mempertahankan Bukit Kepong dan Endau. Kekalahan ini menunjukkan bahawa PN tidak cukup bersedia menghadapi pilihan raya dalam keadaan hubungan dalaman yang tidak stabil. Pertembungan dan ketegangan antara parti komponen yang gagal diselesaikan lebih awal jelas memberi kesan kepada gerak kerja jentera.

Khusus bagi Bersatu, keputusan di Johor menolak dakwaan bahawa parti itu mempunyai kekuatan akar umbi yang kukuh di negeri tersebut. Tanpa sokongan jentera Pas yang tersusun, Bersatu kelihatan sukar bergerak secara berkesan. Politik pilihan raya bukan hanya soal nama besar pemimpin atau struktur atas kertas. Ia memerlukan jentera, disiplin kawasan, pengundi teras dan keupayaan menggerakkan penyokong pada hari mengundi. Di Johor, kelemahan ini terserlah.

Namun di sebalik kekalahan PN, terdapat satu dimensi politik yang lebih besar. PRN Johor mungkin menjadi eksperimen awal bahawa apabila undi Melayu tidak berpecah secara besar-besaran, PH-DAP boleh dikalahkan. Dalam beberapa kerusi, sokongan ahli dan penyokong Pas kepada calon BN menjadi faktor penting.

Perkara ini turut diakui oleh Ketua DAP Johor, Teo Nie Ching, apabila beliau menyatakan bahawa sokongan PN membantu BN merampas kerusi Perling dan Johor Jaya daripada DAP. Lebih menarik, beliau turut mengakui bahawa calon DAP di kedua-dua kerusi tersebut sebenarnya memperoleh undi lebih tinggi berbanding PRN 2022, tetapi tetap tewas akibat perubahan pola sokongan dan strategi lawan yang lebih berkesan.

Walaupun BN merupakan seteru politik Pas dalam banyak keadaan, ahli PAS dilihat patuh kepada arahan pimpinan demi tujuan yang lebih besar: mempertahankan kepimpinan Melayu-Islam dan menolak dominasi politik PH-DAP yang dilihat membawa faham Malaysian Malaysia, liberalisme dan sosialisme.

Di sinilah keunikan sikap politik Pas. Pas tidak melihat politik semata-mata melalui kerangka menang atau kalah parti. Dalam keadaan tertentu, Pas memilih untuk menyokong calon BN apabila ia dilihat lebih bermanfaat untuk menghalang kemenangan PH-DAP. Dari sudut Pas, perbezaan dengan BN masih wujud, tetapi ancaman pemikiran politik yang dibawa PH-DAP dianggap lebih besar mudaratnya jika diberi ruang menguasai kerajaan negeri.

Inilah yang boleh ditafsirkan sebagai politik keutamaan: memilih mudarat yang lebih kecil untuk menolak mudarat yang lebih besar. Pendekatan ini juga menunjukkan bahawa PAS tidak hanya berpolitik berdasarkan keuntungan kerusi, tetapi berdasarkan pertimbangan strategik yang lebih luas.

Strategi Pas ini turut memberi kesan kepada parti komponen BN seperti MCA dan MIC. Ironinya, sokongan pengundi Melayu dan gerak kerja jentera Pas turut membantu parti bukan Melayu dalam BN menewaskan DAP-PH. Ini membuktikan bahawa kerjasama politik yang berasaskan keutamaan strategik boleh menghasilkan kesan yang tidak dijangka.

Pas, walaupun tidak menang dalam kerusi yang ditandinginya, tetap memainkan peranan dalam membentuk landskap akhir keputusan. Lebih penting, Pasboleh mendakwa bahawa tindakannya mencerminkan keikhlasan dalam berpolitik. Apabila diarahkan untuk membantu calon BN, ahli Pas turun bekerja walaupun parti itu sendiri tidak mendapat keuntungan kerusi secara langsung.

Hal ini berbeza dengan politik transaksional yang hanya bergerak apabila ada habuan jawatan atau kerusi. Bagi Pas, mempertahankan maruah politik Melayu-Islam dan mengekang arus liberal PH-DAP lebih besar daripada kepentingan parti semata-mata.

Kesimpulannya, PRN Johor menghantar beberapa isyarat jelas. Pertama, PH-DAP tidak lagi boleh menganggap sokongan bukan Melayu sebagai simpanan tetap. Kedua, PKR semakin lemah di Johor, terutama di kawasan bukan Melayu. Ketiga, PN perlu menyelesaikan krisis dalaman jika mahu kekal relevan. Keempat, Pas, walaupun tewas di kerusi sendiri, tetap muncul sebagai faktor strategik yang membantu membentuk kemenangan BN.

Yang paling penting, keputusan ini mungkin menjadi isyarat awal bahawa jika orang Melayu mampu menyusun keutamaan politik dan mengurangkan perpecahan undi, PH-DAP boleh dikalahkan. PRN Johor bukan sekadar kemenangan BN, tetapi satu mesej bahawa politik Melayu-Islam masih mempunyai daya susun yang kuat apabila bergerak dengan disiplin.

DAP dan PH perlu menerima hakikat ini dengan jujur: politik menakutkan pengundi tidak cukup untuk bertahan jika rakyat mula menilai rekod, sikap dan arah perjuangan dengan lebih kritikal. Johor telah menghantar isyarat bahawa pengundi semakin berani menilai semula pilihan politik mereka, dan isyarat itu wajar dibaca dengan cermat oleh semua parti.

*** Penulis ialah Ketua Penyelidik (Governans & Polisi) Yayasan Strategik Lestari dan pemerhati politik semasa