BACHOK - Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dipercayai terlelap sehingga menyebabkan kereta Perodua Myvi yang dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam sungai berhampiran pintu air Pengkalan Petah di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu, pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Kota Bharu berkenaan dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri kelas tuisyen.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Nor Azini Che Wil berkata, remaja terbabit memaklumkan dia terlelap kerana mengantuk dan apabila tersedar, keretanya dipercayai sudah tenggelam di dalam sungai sedalam kira-kira 15 meter.
“Remaja itu menggunakan lengan kirinya untuk memecahkan cermin di bahagian penumpang hadapan bagi membolehkannya keluar dari kenderaan tersebut.
Menurut beliau, kereta terbabit kebetulan terjunam tidak jauh dari tebing sungai dan pelajar berkenaan juga tidak panik ketika kejadian berlaku.
Katanya, pelajar itu mengalami kecederaan pada lengan kiri dan dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Nor Azini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.20 petang dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 5 petang.