WASHINGTON - Fenomena cuaca El Nino semakin intensif sejak sebulan lalu dan dijangka berpotensi menjadi antara paling kuat pernah direkodkan apabila mencapai kemuncak antara Oktober hingga Disember depan.
Pusat Ramalan Iklim (CPC) Amerika Syarikat memaklumkan terdapat kebarangkalian 81 peratus bahawa El Nino kali ini akan berada pada tahap 'sangat serius', sekali gus berpotensi mencatatkan antara rekod tertinggi sejak pemantauan bermula pada 1950.
CPC turut menjangkakan terdapat 97 peratus kemungkinan fenomena itu berterusan sehingga awal musim bunga 2027.
El Nino lazimnya memberi kesan besar terhadap corak cuaca dunia termasuk menyebabkan keadaan lebih kering dan risiko kemarau di Australia selain membawa musim sejuk lebih lembap di Afrika Timur serta bahagian selatan Amerika Syarikat (AS).
Saintis iklim dari Pusat Penyelidikan Atmosfera Kebangsaan, Isla Simpson berkata, hasil kajian model iklim menunjukkan pemanasan global berpotensi meningkatkan variasi El Nino dan La Nina, mengakibatkan kedua-dua fenomena yang membawa keadaan cuaca bertentangan itu berlaku lebih ekstrem.
Di AS, El Nino biasanya membantu mengurangkan keadaan kemarau di beberapa kawasan termasuk California, namun boleh mencetuskan keadaan lebih kering di wilayah lain.
Kesan El Nino terhadap Eropah pula masih kurang jelas, tetapi terdapat bukti bahawa fenomena itu boleh meningkatkan kemungkinan berlakunya keadaan sejuk luar biasa pada penghujung musim sejuk di bahagian utara Eropah.
Menurut CPC, suhu permukaan laut di kawasan Nino 3.4 di Lautan Pasifik kini berada 1.2 darjah Celsius lebih tinggi berbanding purata.
Perkembangan itu bersama pemanasan air laut di bawah permukaan dan perubahan corak angin serta tekanan atmosfera mengesahkan sistem lautan-atmosfera kini berada dalam keadaan El Nino yang semakin intensif.
Walaupun El Nino biasanya memuncak antara November hingga Februari, kesan terhadap peningkatan suhu global berlaku selepas tempoh berkenaan.
Fenomena terdahulu yang berlaku seiring dengan perubahan iklim akibat aktiviti tidak terkawal manusia turut menyumbang kepada suhu dunia yang lebih tinggi.
Keadaan itu menjadikan 2023 sebagai tahun kedua paling panas sebelum 2024 memecahkan rekod tersebut sebagai tahun paling panas pernah direkodkan.
Tahap pencemaran ozon berbahaya
Dua pertiga penduduk Kesatuan Eropah (EU) mungkin terdedah kepada tahap pencemaran ozon berbahaya ketika gelombang haba luar biasa yang mencatat rekod pada bulan lalu.
Laporan eksklusif pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Global Witness itu mendakwa hampir 300 juta penduduk termasuk 100 juta kanak-kanak dan warga emas terdedah kepada paras bahan pencemar toksik itu melebihi tahap yang disyorkan blok berkenaan.
Skala 'ancaman tidak kelihatan' itu menunjukkan bagaimana manusia terpaksa berdepan keadaan yang sangat berbahaya akibat kebergantungan terhadap bahan api fosil.
Menurut Agensi Alam Sekitar Eropah, pencemaran ozon dikaitkan dengan lebih 63,000 kematian dan kerugian berbilion euro dalam sektor pertanian pada 2023.
Laporan itu menggabungkan data daripada 162 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh Eropah, pemodelan atmosfera dan maklumat bancian bagi menganggarkan tahap ozon di seluruh rantau itu pada 21 hingga 28 Jun lalu.
Kajian itu juga mendapati hampir 298 juta penduduk di seluruh Eropah terdedah kepada paras ozon yang melebihi had maksimum purata lapan jam harian yang ditetapkan EU iaitu 120 mikrogram bagi setiap meter padu udara.
Ozon di permukaan bumi terbentuk apabila nitrogen oksida daripada asap kenderaan bertindak balas dengan sebatian organik yang terhasil daripada pelepasan metana akibat aktiviti manusia.
Sejak beberapa dekad lalu, blok tersebut berjaya mengurangkan tahap pencemaran nitrogen dioksida, namun metana menyumbang satu pertiga kepada pembentukan ozon di permukaan bumi.
EU bagaimanapun masih belum menetapkan sasaran wajib untuk mengurangkan pelepasan metana daripada sektor pertanian. - AFP