Warga asing eksploitasi OKU untuk mengemis

Iklan
Kegiatan ini dipercayai memperoleh pendapatan antara RM100 hingga RM200 bagi setiap malam. Foto JIM

KUALA LUMPUR - Sindiket mengemis yang didalangi warga asing dengan memanipulasi orang kurang upaya (OKU) tempatan dibongkar di sini pada Jumaat.

Operasi bermula jam 10 malam dijalankan di sekitar Jalan Dang Wangi dan Jalan Tuanku Abdul Rahman oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 10 individu berusia 29 hingga 56 tahun membabitkan lima tempatan dan lima warga asing ditahan.

Menurutnya, operasi berdasarkan maklumat awam dan risikan mendapati aktiviti mengemis ini didalangi oleh warga Indonesia yang memanipulasi warga tempatan berstatus OKU cacat penglihatan bagi meraih simpati dan mendapatkan sumbangan orang ramai.

Iklan

"Orang awam yang memberi sumbangan akan diberikan tisu sebagai balasan bagi mewujudkan gambaran aktiviti jualan.

"Kegiatan ini dipercayai memperoleh pendapatan antara RM100 hingga RM200 bagi setiap malam dan telah beroperasi sejak awal Januari lalu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Antara yang ditahan JIM menerusi operasi membanteras sindiket pengemis di sekitar ibu negara pada Jumaat. Foto JIM

Beliau berkata, operasi terbabit telah merampas tiga naskhah pasport Indonesia, barangan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti ini dan wang tunai sebanyak RM159 yang dipercayai hasil dari aktiviti terbabit.

Katanya lagi, semakan awal turut mendapati dua warga Indonesia yang ditahan telah menyalahgunakan pas yang dimiliki, seorang telah tinggal lebih masa manakala dua orang lagi tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.

Operasi terbabit telah merampas tiga naskhah pasport Indonesia, barangan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti mengemis dan wang tunai. Foto JIM

Tegas Zakaria, JIM akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini agar kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.