SHAH ALAM – Calon MCA yang mewakili Barisan Nasional (BN) didakwa mendahului pencabar di satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Paloh berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat jam 7 malam.
Berdasarkan laman web yang dikendalikan DAP, calon BN yang juga penyandangnya, Lee Ting Han memperoleh 1,765 undi, sekali gus jauh meninggalkan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Ruban Arumugam yang meraih 718 undi di kerusi berkenaan.
Calon Perikatan Nasional (PN), D S Jeevan pula memperoleh 61 undi, manakala calon Bebas, Kamaleswaren A/L Ganabathi meraih 17 undi.
Sementara itu, persaingan di DUN Johor Jaya semakin sengit apabila PH mendahului BN dengan perbezaan hanya 62 undi berdasarkan keputusan tidak rasmi terkini.
PH memperoleh 4,299 undi manakala BN (4,2370), Bersama (263) dan calon Bebas (24).
Sebelum ini, MCA bertanding di 15 kerusi DUN dengan mengekalkan empat penyandang dan menampilkan tujuh muka baharu termasuk sayap Pemuda dan Wanita parti berkenaan.
Antara penyandang MCA termasuklah Ling Tian Soon di kerusi Yong Peng, Lee Ting Han (Paloh), Tan Chong (Bekok) dan Tan Eng Meng (Pekan Nenas).
Pada 1 Jun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan DUN Johor dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.
Pada PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Peratusan keluar mengundi bagi setakat jam 4 petang Sabtu, merekodkan 63.13 peratus.
Berdasarkan infografik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 1,693,625 daripada 2,682,642 pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.