PASIR PUTEH – Seorang anggota polis maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum tercampak keluar dari kenderaan dalam kemalangan di Kilometer (KM) 30 Jalan Persekutuan Pasir Puteh-Kota Bharu berhampiran Simpang Kampung Banir Belikong di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 11.50 malam itu, mangsa yang berusia 28 tahun dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu itu disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Saari Yaacob berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan tersebut pada jam 12.05 tengah malam Sabtu.
“Kereta itu kemudian terbabas dan mangsa tercampak keluar dari kenderaan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.