Pulau Teluk Renjuna lokasi pertama Fire Point Bomba Komuniti Kelantan

Iklan
Bomba komuniti Teluk Renjuna yang menerima peralatan keselamatan dari pihak bomba untuk kegunaan masyarakat setempat. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

TUMPAT – Pulau Teluk Renjuna dipilih sebagai lokasi pertama penubuhan Fire Point Bomba Komuniti di Kelantan bagi memperkukuhkan tindakan awal sekiranya berlaku kecemasan terutama kebakaran yang memerlukan usaha menyelamat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, pemilihan kawasan itu dibuat berdasarkan faktor geografi yang memerlukan tempoh masa tertentu untuk diakses pasukan bomba kerana hanya terdapat pengangkutan melalui Sungai Kelantan menggunakan bot.

Iklan
Iklan

“Justeru, komuniti seperti di Telok Renjuna perlu diperkasakan dengan ilmu, latihan dan kemahiran kebombaan supaya tindakan awal dapat dilaksanakan secara cepat, selamat dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Program Kempen Keselamatan Kebakaran dan Penubuhan Fire Point Bomba Komuniti di Pulau Teluk Renjuna di sini pada Sabtu.

Iklan

Farhan Sufyan (dua dari kiri) mengiringi Hilmi (kanan) yang menandatangi plak Fire Point Bomba Komuniti Bomba Komuniti Teluk Renjuna. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah yang merasmikan majlis.

Iklan

Farhan Sufyan berkata, Fire Point berkenaan ditempatkan berhampiran Masjid Mukim Telok Renjuna kerana lokasi itu mudah dikenal pasti dan menjadi tumpuan masyarakat.

Menurutnya, komuniti setempat yang berada lebih dekat dengan lokasi kejadian mampu bertindak sebagai pihak pertama membantu mengawal keadaan sebelum bantuan JBPM tiba.

Katanya, kemudahan itu dilengkapi peralatan asas pemadaman kebakaran termasuk pam, hos, alat penyambung serta peralatan menyelamat seperti jaket keselamatan, boya dan beg penyelamat bertali yang bersesuaian dengan keadaan kawasan pulau.

“Fire Point ini bukan untuk menggantikan peranan JBPM, tetapi sebagai inisiatif memperkukuhkan kesiapsiagaan komuniti dan melengkapkan tindakan awal ketika berlaku kecemasan,” katanya.

Tambahnya, Teluk Renjuna mempunyai kira-kira 600 penduduk, manakala manfaat kemudahan itu turut meliputi kawasan berhampiran termasuk Pulau Sri Tanjung yang keseluruhannya sekitar 3,000 penduduk.

Sementara itu, Farhan berkata, JBPM Kelantan menyasarkan penubuhan 20 pasukan Bomba Komuniti di seluruh negeri sepanjang tahun ini, dengan 12 pasukan sudah diwujudkan setakat ini.

Peralatan memadam kebakaran yang ditempatkan di Fire Point Bomba Komuniti di Teluk Renjuna. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Menurutnya, anggota Bomba Komuniti diberikan latihan asas selama seminggu sebelum dilantik dan akan dipantau secara berkala bagi memastikan kemahiran serta peralatan sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Bomba Komuniti bukan sekadar pasukan membantu memadam kebakaran, tetapi mereka juga menjadi mata dan telinga JBPM dalam menyampaikan mesej keselamatan serta pencegahan kebakaran kepada masyarakat,” katanya.