KLUANG – Kesibukan dengan majlis persandingan bukan penghalang pasangan pengantin baharu untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Mengenakan busana songket berwarna merah, pasangan pengantin, Nurul Aida Mohd Kamal dan Raja Akmal Hakim Raja Abdul Rahim, masing-masing berusia 25 tahun, mencuri perhatian orang ramai ketika hadir ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Ayer Hitam.
Sebelum itu, pasangan mempelai berkenaan meninggalkan seketika majlis persandingan mereka di Dewan Serbaguna Felda Ayer Hitam pada jam 12.30 tengah hari untuk membuang undi di pusat mengundi yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi majlis.
Berkongsi pengalamannya, Nurul Aida berkata, dia dan suaminya tidak menyangka tarikh perkahwinan yang dipilih secara kebetulan jatuh pada hari pengundian PRN Johor.
"Jadi, saya juga sudah menyelesaikan tanggungjawab mengundi walaupun sibuk, tetapi saya tetap menunaikan tanggungjawab saya," katanya.
Dalam pada itu, Akmal pula berkata, dia akan mengundi sebaik selesai majlis persandingan di Dewan Serbaguna Felda Ayer Hitam.