TUMPAT – Penganjuran program hiburan secara tertutup tetap memerlukan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tidak boleh dianggap bebas daripada syarat ditetapkan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, setiap penganjuran yang mempunyai elemen hiburan perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu bagi memastikan ia mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025.
Menurutnya, alasan program hanya membabitkan kelompok tertentu atau keluarga tidak boleh dijadikan asas untuk mengabaikan keperluan mendapatkan kelulusan sekiranya terdapat unsur hiburan seperti persembahan nyanyian.
“Apabila ada elemen hiburan, kutipan bayaran masuk dan hebahan poster, itu tertakluk kepada peraturan serta penganjur wajar mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa terlebih dahulu mengenai kaedah atau syarat yang perlu dipatuhi sebelum mengadakan sesuatu program hiburan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Kempen Keselamatan Kebakaran dan Penubuhan Fire Point Bomba Komuniti di Teluk Renjuna, Tumpat pada Sabtu.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan.
Mengulas mengenai isu penganjuran ‘disko’ di sebuah premis di tepi Sungai Kelantan yang tular sebelum ini, Hilmi berkata, kerajaan negeri menerima permohonan maaf daripada pihak penganjur namun tindakan penguatkuasaan tetap berjalan mengikut peruntukan undang-undang.
Katanya, pemilik premis dan penganjur bertanggungjawab terhadap penganjuran program berkenaan yang didapati mempunyai beberapa pelanggaran.
Hilmi berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk mengadakan hiburan tanpa lesen, mempamerkan poster tanpa kelulusan serta mengutip bayaran masuk bagi menghadiri program berkenaan.
“Premis itu mempunyai lesen perniagaan tetapi syarat lesen tidak membenarkan aktiviti hiburan seperti yang dijalankan.
“Kesalahan itu bukan sahaja membabitkan penganjur tetapi juga pemilik premis yang membenarkan acara tersebut berlangsung,” katanya.
Sebelum ini, program hiburan bertemakan disko retro, hippie 60-an, 70-an dan 80-an diadakan pada 3 Julai lalu sebelum tular.
Akibat itu, pemilik premis berkenaan dikompaun RM25,000 oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam.