Pelajar kejar rakan dengan pisau di sekolah: Bapa lapor polis dakwa anak dibuli

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai kes pelajar Tingkatan Satu kejar rakan dengan pisau.

ALOR GAJAH - Bapa kepada pelajar Tingkatan Satu yang bertindak mengejar tiga rakannya dengan pisau pemotong kertas dalam kejadian Khamis lalu tampil membuat laporan polis selepas mendakwa anaknya dibuli sehingga mendorongnya bertindak di luar kawalan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, ibu bapa pelajar lelaki berkenaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah pada jam 6.24 petang, Jumaat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pasangan itu mendakwa anak mereka dibuli oleh pelajar terbabit sehingga bertindak demikian ketika program sedang berlangsung di dewan terbuka sekolah berkenaan.

“Susulan itu, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 307B Kanun Keseksaan berkaitan kes buli dan siasatan menyeluruh akan diteruskan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan lanjut.

Iklan

“Justeru, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini bagi menjaga sensitiviti semua pihak,” katanya.

Pada perkembangan sama, beliau memaklumkan pihaknya difahamkan ibu bapa kepada tiga pelajar lelaki yang dikejar itu dijangka akan membuat laporan polis.

Iklan

Bagaimanapun katanya, sehingga kini pihak polis masih belum menerima sebarang laporan daripada mereka.

Dalam kejadian itu, seorang pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah menengah di sini bertindak mengejar tiga rakannya sambil memegang pisau pemotong kertas selepas dipercayai menjadi mangsa buli.

Siasatan awal mendapati insiden tercetus selepas suspek beberapa kali dibaling ais sehingga menyebabkannya berang lalu bertindak demikian.

Suspek kemudian mengeluarkan pisau berkenaan daripada bekas pensilnya sebelum mengejar salah seorang mangsa sejauh kira-kira 50 meter hingga ke kawasan surau sekolah.

Situasi cemas itu turut menyebabkan dua lagi pelajar yang berada bersama mangsa melarikan diri kerana bimbang dicederakan.