Remaja 16 tahun jadi mangsa rogol kenalan di TikTok

Iklan
Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan atas dakwaan merogol remaja berusia 16 tahun dalam beberapa kejadian sejak Mac lalu.

PAPAR - Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan atas dakwaan merogol remaja berusia 16 tahun dalam beberapa kejadian sejak Mac lalu.

Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di kawasan Kinarut, dekat sini, pada malam Jumaat.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Heryan Mohd Tahir berkata, laporan polis dibuat oleh mangsa sendiri pada hari yang sama berhubung perbuatan lelaki yang dikenalinya dari laman sosial.

"Menurut siasatan awal, mangsa berkenalan dengan suspek melalui aplikasi TikTok sebelum mereka menjadi pasangan kekasih.

Iklan

"Kejadian rogol terjadi disebabkan suspek sering memaksa mangsa melakukan perkara tersebut dan mendakwa kejadian itu berlaku antara bulan Mac hingga Julai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya lagi, bertindak atas laporan yang diterima, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar telah menjalankan siasatan segera berhubung kejadian tersebut.

Iklan

"Suspek kemudian berjaya ditahan pada malam yang sama dan direman bagi membantu siasatan.

"Pihak kita juga turut menjalankan beberapa tindakan siasatan lanjut termasuk merakam percakapan saksi dan pemeriksaan di lokasi berkaitan. Kes disiasat di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

"Sementara itu, mangsa telah dirujuk ke hospital untuk menjalani pemeriksaan perubatan," katanya.

Heryan dalam pada itu menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang kesalahan seksual, khususnya yang melibatkan kanak-kanak dan remaja bawah umur.

"Ibu bapa dan penjaga disaran supaya sentiasa memantau pergaulan anak-anak, termasuk aktiviti mereka di media sosial, serta segera membuat laporan kepada pihak polis sekiranya mengesyaki berlaku sebarang bentuk jenayah atau eksploitasi seksual.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan identiti mangsa kerana perbuatan tersebut boleh menjejaskan siasatan serta melanggar hak privasi mangsa," katanya.