Trafik mula sesak menjelang Deepavali, LLM nasihat pengguna rancang perjalanan

Iklan
Aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara sesak berikutan orang ramai pulang ke kampung halaman sempena cuti perayaan Deepavali. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perjalanan pulang ke kampung sempena cuti sambutan Deepavali esok menyebabkan trafik di beberapa lokasi lebuh raya utama meningkat dan perlahan setakat jam 10 pagi ini.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, antara laluan yang sesak ialah Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dengan trafik menghala ke Pantai Timur sesak dari Plaza Tol Gombak hingga ke Lentang.

Iklan
Iklan

"Untuk Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2, trafik masih lancar,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Beliau berkata, di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) E1 arah utara, trafik perlahan dari Sungai Buloh hingga ke Tanjong Malim, Trolak ke Tapah, Gopeng ke Simpang Pulai, Alor Pongsu ke Bandar Baharu serta Permatang Pauh ke Plaza Tol Sungai Dua.

Iklan

Bagi PLUS E2 arah selatan, trafik sesak dari Sungai Besi ke Pusat Bandar termasuk menghala ke Bukit Jalil dan dilaporkan perlahan dari Southville City ke Bandar Ainsdale dan Seremban ke Senawang.

Di Johor, trafik arah utara menuju Kuala Lumpur dilaporkan perlahan dari Machap ke Ayer Hitam serta Skudai menghala ke Kulai manakala arah selatan melibatkan dari Dato’ Onn ke Pasir Gudang.

Iklan

Beliau berkata, trafik di Tambak Johor juga agak sesak di kedua-dua arah terutama berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) namun aliran trafik di jambatan masih lancar.

"Di Lebuhraya ELITE berlaku sedikit kelewatan susulan aliran trafik yang bersambung dengan Nilai Utara selain perlahan dari Bandar Serenia ke Nilai Utara terutama menuju ke Seremban,” katanya.

Beliau berkata, satu kemalangan berlaku di Kilometer 388.5 arah utara antara Sungai Buloh dan Tanjong Malim menyebabkan lorong kiri dan kecemasan terhalang.

Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan sempena cuti perayaan Deepavali dengan mengambil kira keadaan trafik bagi mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan di laluan utama. - Bernama