MERSING - Balai Raya Pulau Besar di sini menjadi pusat mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang pertama ditutup pada Sabtu.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Jamil Hasni Abdullah berkata, pusat mengundi yang mempunyai satu saluran dan 32 pengundi itu ditutup pada 11 pagi tadi, selepas dibuka selama tiga jam untuk proses pengundian.
"Pusat mengundi di Balai Raya Pulau Aur dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pemanggil pula ditutup pada 12 tengah hari, manakala Balai Raya Pulau Sibu serta SK Pulau Tinggi pada 2 petang,” katanya kepada Bernama.
Kesemua pusat mengundi di lima pulau berkenaan melibatkan 690 pengundi berdaftar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan sebanyak 42.16 peratus atau 1,130,980 daripada lebih 2.6 juta pengundi telah keluar mengundi setakat 1 tengah hari.
Proses pengundian itu dijadualkan berlangsung hingga 6 petang ini. - Bernama