Dua remaja usia 13 dan 14 tahun dalang pecah cermin lapan kenderaan ditahan

Iklan
Dua remaja lelaki berusia 13 dan 14 tahun ditahan selepas dipercayai menjadi dalang utama kes khianat memecahkan cermin kenderaan di beberapa kawasan di daerah ini pada Jumaat.

GERIK - Dua remaja lelaki berusia 13 dan 14 tahun ditahan selepas dipercayai menjadi dalang utama kes khianat memecahkan cermin kenderaan di beberapa kawasan di daerah ini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima laporan itu pada jam 2.38 petang melibatkan kejadian di Taman Sri Temenggor, Taman Meha dan Taman Gerik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan mendapati sebanyak lapan kenderaan pelbagai jenis mengalami kerosakan dengan anggaran kerugian kira-kira RM10,000.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan kedua-dua suspek warga tempatan itu pada pagi Sabtu iaitu dalam tempoh kurang 24 jam.

Iklan

“Hasil soal siasat awal mendapati mereka mengaku terlibat bersama dua lagi rakan yang masih bebas,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Siasatan mendapati sebanyak lapan kenderaan pelbagai jenis mengalami kerosakan dengan anggaran kerugian kira-kira RM10,000.

Iklan

Beliau berkata, suspek dipercayai menggunakan batu dan bata untuk memecahkan cermin kenderaan terbabit.

Tambahnya, beberapa barangan kes termasuk sebuah motosikal, topi keledar dan pakaian yang dipakai semasa kejadian turut dirampas bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Samad menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan serta aktiviti anak-anak bagi mengelakkan mereka terjebak dalam kegiatan jenayah.

Ujarnya, ibu bapa juga boleh dikenakan liabiliti perundangan sekiranya anak-anak didapati terlibat dalam jenayah, ponteng sekolah atau perbuatan yang mengganggu ketenteraman awam seperti buli dan vandalisme akibat kecuaian dalam penjagaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menyalurkan segera kepada pihak polis bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, beberapa gambar yang memaparkan keadaan kerosakan kenderaan antaranya di bahagian cermin belakang dan sisi kereta tular di media sosial.

Turut dikongsi video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan penunggang motosikal melempar objek dipercayai batu ke arah sebuah kenderaan.