JOHOR BAHRU - Beberapa menteri dan timbalan menteri selesai menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pagi Sabtu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjadi antara pemimpin terawal selesai mengundi apabila menunaikan tanggungjawabnya pada 8.15 pagi di Sekolah Kebangsaan Bandar Penawar, Pengerang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula selesai mengundi pada 8.30 pagi di Sekolah Kebangsaan Rinting 1, Masai di sini.
Turut menunaikan tanggungjawab pada sebelah pagi ialah Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Onn, Batu Pahat pada 8.50 pagi.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan selesai mengundi pada 8.40 pagi di Sekolah Kebangsaan Seri Bahagia, Benut.
Sebanyak 1,076 pusat mengundi membabitkan 4,889 saluran bagi PRN Johor dibuka serentak bermula 8 pagi ini, bagi membolehkan rakyat negeri itu memilih kerajaan baharu untuk penggal akan datang.
Proses pengundian yang melibatkan 2.7 juta pemilih berdaftar itu dijadualkan berlangsung hingga 6 petang ini, selepas berakhirnya tempoh berkempen selama 14 hari pada tengah malam tadi. - Bernama