KULAI- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan menjejaskan hubungan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Menurutnya, hubungan antara pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan akan terus kekal profesional meskipun kedua-dua gabungan itu bertembung dalam PRN kali ini.
"Setakat ini, ia tidak mengganggu dan saya mengharapkan keadaan itu akan terus kekal kerana kita ialah menteri dan timbalan menteri yang bekerja secara profesional.
"Mungkin kita berbeza pandangan di Johor dan membangkitkan isu bagi memenangkan calon masing-masing, namun dalam setiap mesyuarat Kabinet kita tetap bermusyawarah dengan hikmah, baik dan profesional," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Munajat Perdana dan Doa Selamat BN Parlimen Kulai di sini pada Jumaat.
Pengerusi BN itu turut berharap semua pemimpin serta penyokong BN dan PH menerima apa juga keputusan PRN Johor dengan penuh kematangan tanpa dipengaruhi emosi.
"Ikutilah sikap dan cara pemimpin atasan yang sentiasa bergerak secara profesional," ujar beliau.
Sementara itu, ditanya tentang dakwaan kononnya BN akan bekerjasama dengan Pas sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri selepas PRN Johor, beliau menyatakan ia tidak harus dijadikan isu.
Jelasnya, kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menafikan dakwaan berkenaan perlu dilihat dalam konteks sebenar.
"Saya fikir realiti politik perlu diterjemahkan dalam apa juga keadaan. Datuk Onn Hafiz tidak bermaksud demikian.
"Apabila menyebut mengenai sebuah parti lain yang kita tidak bersama dan tidak berhajat membentuk kerajaan dengannya, ia tidak memperlihatkan dasar perkauman kerana parti ialah parti, bukannya bangsa.
"Saya melihat Datuk Onn Hafiz sebagai seorang yang sangat berhati-hati, berhemah dan bijaksana dalam menangani isu. Saya tidak fikir perkara itu perlu dijadikan isu penting hanya beberapa jam sebelum pengundian," katanya.