Peluang PKS luaskan pasaran di Mega Halal Bangkok 2026

Iklan
MOHD SHUKRI (kiri) bersama Pengarang Comasia Limited, Peter Cheung (tengah) dan Pengarah Projek PT Deka Event Indonesia, Agi Widiawan Kadar pada sidang akhbar Mega Halal Bangkok 2026 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

SYARIKAT perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan berpeluang meluaskan lagi pasaran halal mereka ke peringkat antarabangsa menerusi penyertaan dalam Mega Halal Bangkok 2026 yang akan dilangsungkan di Queen Sirikit National Convention Center, Bangkok, Thailand bermula 15 hingga 17 Julai ini.

Pameran anjuran Comasia Limited dengan kerjasama SHAPERS (pengasas MIHAS dan HALFEST Malaysia), Thailand Food Institute ( I) serta Thai Muslim Trade Association (TMTA) itu dijangka menjadi antara platform perdagangan halal paling signifikan dan terbesar di Asia Tenggara.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif SHAPERS, Datuk Mohd Shukri Abdullah berkata, pameran itu dibuat bagi memberi fokus kepada usaha membantu usahawan tempatan khususnya PKS dan Bumiputera dalam menembusi pasaran Thailand serta negara lain selain mendapatkan akses kepada pembeli antarabangsa.

“Ia juga sebagai platform untuk merancakkan perdagangan halal rentas sempadan di samping mengukuhkan rangkaian bekalan halal serantau,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Lebih 200 pempamer dari lebih 10 negara dijangka mengambil bahagian meliputi sektor makanan dan minuman halal, kosmetik, penjagaan diri, farmaseutikal, kesihatan dan kesejahteraan, fesyen Muslim, produk gaya hidup serta teknologi halal.

Antara negara yang mengesahkan penyertaan termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, China dan Taiwan sekali gus menjadikan pameran itu platform strategik bagi mempromosikan produk halal Asia ke pasaran global.

Iklan

Perkembangan itu selari dengan pertumbuhan pesat ekonomi halal dunia yang dipacu perningkatan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal di pelbagai negara.

Pengusaha tempatan seperti PKS, pengeluar makanan, kosmetik, farmaseutikal, fesyen Muslim dan produk gaya hidup halal digalakkan merebut peluang menyertai Mega Halal Bangkok 2026. Pendaftaran boleh dibuat menerusi www.megahalal-bangkok.com.