SHAH ALAM - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) disyorkan supaya menyemak semula keseluruhan proses dan dokumen pemberian kewarganegaraan secara naturalisasi kepada tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam satu kenyataan berkata, ia susulan Kelulusan khas kewarganegaraan kepada tujuh pemain berkenaan didapati dibuat dalam tempoh yang amat singkat dan secara tidak teratur.
Menurutnya, dapatan itu diperoleh hasil siasatan EAIC melalui pasukan petugas khas (PPK) yang ditubuhkan di bawah seksyen 17 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 untuk menyiasat berdasarkan aduan diterima berhubung kes itu.
“Selain itu, terdapat isu berhubung pengendalian tapisan keselamatan oleh JIM dan ujian Pengetahuan Bahasa Melayu (UPBM) oleh JPN bagi tujuan kelulusan kewarganegaraan.
“Turut terdapat ketidakpatuhan berkenaan pengesahan pelepasan kewarganegaraan negara asal daripada pihak berkuasa negara asal pemain naturalisasi bola sepak Malaysia dan ketidakpatuhan berkenaan penyerahan pasport negara asal oleh pemain kepada JIM,” kata kenyataan itu pada Jumaat.
Menurut EAIC, Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan secara naturalisasi di bawah Perkara 19.
Saifuddin Nasution kemudian katanya, menggunakan kuasa budi bicaranya untuk memberikan kelulusan khas dengan mengambil kira sumbangan pemohon dalam sukan bola sepak yang berpotensi mengharumkan nama negara.
Kelulusan tersebut kata kenyataan itu, dibuat di bawah Perkara 19(2), dibaca bersama seksyen 20(1)(e) Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, EAIC dalam kenyataan sama turut menggesa kerajaan mewujudkan garis panduan bagi pelaksanaan kuasa budi bicara dengan mengambil kira tempoh kemastautinan dalam negara sebagai asas penting dalam pertimbangan kewarganegaraan.
Suruhanjaya itu juga mencadangkan JPN dan KDN menyediakan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi pemberian kewarganegaraan di bawah Perkara 19(2).
"JPN dan KDN perlu menyediakan satu SOP khusus berkenaan pelepasan kewarganegaraan asal oleh warganegara asing yang telah memperoleh taraf kewarganegaraan Malaysia.
"JPN perlu menetapkan satu tempoh yang mewajibkan pelepasan kewarganegaraan negara asal dilakukan dan hukuman sekiranya gagal untuk menyerahkan bukti pelepasan kewarganegaraan tersebut," katanya.