Kerjasama Pas, BN Johor elak perpecahan kuasa politik umat Islam - Abdul Hadi

Iklan
Abdul Hadi

SHAH ALAM - Kerjasama antara Pas dan Barisan Nasional (BN) di Johor dibentuk bagi mengelakkan perpecahan kuasa politik umat Islam.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama itu diwujudkan selepas mengambil kira kepentingan lebih besar dalam menentukan hala tuju kepimpinan negeri pada masa hadapan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, perbezaan yang pernah wujud antara kedua-dua pihak diketepikan demi mencapai matlamat tersebut.

"Perbezaan yang pernah wujud diketepikan demi mencapai matlamat yang lebih besar, iaitu mempertahankan kestabilan negeri serta memastikan kepimpinan terus berada di landasan yang betul," katanya pada Jumaat.

Iklan

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan satu amanah besar yang akan menentukan hala tuju kepimpinan negeri pada masa hadapan.

Katanya, kepimpinan yang diterajui oleh orang Melayu Islam perlu terus diperkukuhkan bagi memelihara kedudukan Islam di samping menjamin keadilan serta kesejahteraan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Iklan

Beliau turut menyeru rakyat Johor supaya menggunakan hak mengundi dengan penuh tanggungjawab kerana setiap undi yang diberikan bukan sahaja menentukan wakil rakyat, malah menjadi sebahagian daripada usaha mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

"Semoga ALLAH SWT mengurniakan petunjuk kepada seluruh pengundi untuk membuat pilihan yang terbaik serta mengurniakan kejayaan kepada calon-calon yang berjuang demi agama, rakyat dan masa depan Johor," katanya.