Pekerja kolej mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual terhadap 2 remaja lelaki

Iklan
Seorang petugas sebuah kolej swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual dan liwat terhadap dua remaja lelaki, bulan lepas. - Foto: Bernama

SHAH ALAM - Seorang petugas sebuah kolej swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual dan liwat terhadap dua remaja lelaki, bulan lepas.

Fikri Zainal Abidin, 38, membuat pengakuan berkenaan selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Fikri didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki berusia 14 tahun pada 20, 23 dan 29 Jun di hostel kolej terbabit dan sebuah rumah di Seksyen 18, Shah Alam.

Pertuduhan dikemukakan di bawah 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Iklan

Dia turut didakwa atas kesalahan liwat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwaraya Roshaira Rosly dan K S Rinisha Priyya yang mengendalikan kes tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh, manakala Fikri yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan dengan alasan dia perlu menjaga ibu bapa.

Iklan

Awang Kerisnada kemudian menetapkan tiada sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh dan menetapkan 11 Ogos ini sebagai sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pekerja kolej ditahan di sebuah restoran di Shah Alam pada 4 Julai lepas selepas disyaki mencabul dan meliwat dua pelajar lelaki. - Bernama