KUALA LUMPUR - Kadar caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dikenakan kepada pekerja di negara ini paling rendah di dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz berkata, kadar caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja yang mula dilaksanakan pada 1 Jun lalu juga bukan bertujuan membebankan pencarum.
“Kalau kita lihat faedah-faedah yang boleh diperolehi sehingga kalau kata berlaku.. anak pada satu masa memerlukan pinjaman pendidikan. Juga adalah salah satu faedah di bawah skim ini.
“Caruman ini seperti yang saya katakan terendah di dalam dunia. Pertubuhan Keselamatan Sosial Antarabangs (ISSA) yang mempunyai hampir 164 negara sebagai ahli, kita telah buat perbandingan tidak ada negara yang menawarkan seperti apa yang kita tawarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Menara PERKESO, di sini pada Jumaat.
Jemaah Menteri pada Rabu memutuskan pelaksanaan skim berkenaan tidak lagi diwajibkan, sebaliknya dibuat secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata, keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri membangkitkan maklum balas yang diterima berkaitan pelaksanaan caruman skim berkenaan.
Sebelum ini, lebih sembilan juta pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dilaporkan menerima perlindungan automatik bagi kemalangan bukan bencana kerja mulai 1 Jun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, sebelum ini memaklumkan bahawa skim LINDUNG 24 Jam yang diperkenalkan menerusi pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 bertujuan memperluaskan jaringan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja, termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.
Beliau berkata, skim itu dibiayai sepenuhnya menerusi caruman pekerja dan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa yang ditetapkan, tertakluk kepada had siling gaji sebanyak RM6,000.
Mengulas lanjut, Mohammed berkata, kadar caruman yang ditetapkan sebelum ini mengambil kira pelbagai sudut sebelum ia dilaksanakan.
“Kita dah ambil kira dari segi bahawa caruman serendah ini jika dimandatori boleh memberi faedah yang baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau dalam masa sama turut memaklumkan sebanyak 207, 000 majikan mencarum dalam skim berkenaan yang diperkenalkan awal bulan lalu itu.
Pekerja tempatan yang turut mencarum dalam skim berkenaan seramai 1.92 juta, manakala pekerja asing seramai 307,000 melibatkan caruman hampir RM58 juta.