SHAH ALAM - Pendakwah terkenal, Ustazah Asma' Harun berasa sedih dan terkilan apabila Majlis Penutup Minggu Suai Kenal Pelajar (MSKP) Universiti Malaya (UM) yang turut melibatkan anak lelakinya itu dihidangkan hiburan seperti sebuah konsert.
Sebagai seorang ibu, beliau mengakui perasaannya bercampur baur ketika menghubungi anak keduanya itu bagi mendapatkan gambaran sebenar yang berlaku berikutan video program turut tular di media sosial.
"Saya meminta dia menceritakan satu persatu apa yang berlaku pada malam itu.
"Menurutnya, program bermula selepas selesai Solat Maghrib, ada persembahan pembukaan daripada pelajar, ucapan daripada pihak universiti, persembahan lagi, bacaan ikrar mahasiswa dan persembahan akhir. Semuanya berjalan dengan baik dan terkawal.
"Tetapi apabila muzik semakin kuat, ada pelajar yang mula bangun, lalu keadaan menjadi semakin tidak terkawal, ketika ini anak kami mula berasa tidak selesa," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Beliau berkata, anaknya membuat keputusan untuk meninggalkan lokasi program selepas seorang pelajar senior berpesan supaya pelajar tidak takut beredar sekiranya berada dalam program yang tidak selari dengan pegangan dan nilai diri.
"Ceritanya lagi, 'Umi, ada senior yang berpesan, Kalau kamu berada dalam program yang membuatkan hati kamu rasa tidak tenang atau tidak sesuai dengan nilai yang kamu pegang, jangan takut untuk beredar'.
"Allahu Akbar. Sekali lagi saya menitiskan air mata. Saya nak ucap setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada pelajar senior tersebut, siapa pun kamu, percayalah kamu sudah mengucapkan sesuatu yang sangat luar biasa dan hebat.
"Mungkin bagi kamu ia hanyalah beberapa patah perkataan, tetapi dengan izin ALLAH, nasihat itulah yang menjadi asbab seseorang berani mengambil jalan yang berbeza," katanya lagi.
Beliau menegaskan bahawa perkongsiannya bukan bertujuan membandingkan anaknya dengan mahasiswa lain, sebaliknya mahu mengajak semua pihak menilai semula bentuk program yang dianjurkan di institusi pengajian tinggi.
"Sebagai ibu yang percaya bahawa universiti bukan hanya tempat mencetak graduan, tetapi tempat membentuk manusia yang berwibawa.
"Minggu Suai Kenal Pelajar sepatutnya menjadi minggu menanam benih jiwa mahasiswa. Benih adab, disiplin, amanah, kematangan, cinta ilmu dan tanggungjawab sebagai anak muda yang bakal memimpin masa depan negara," katanya.
Asma' berkata, mahasiswa pada hari ini sudah mempunyai akses yang luas kepada pelbagai bentuk hiburan menerusi media sosial dan platform penstriman.
"Bukankah lebih indah jika malam terakhir Minggu Haluansiswa dipenuhi dengan program yang membina jiwa?
"Perkongsian daripada tokoh-tokoh yang menginspirasikan, forum anak muda, kisah alumni yang berjaya, pengisian kerohanian atau persembahan yang mendidik," katanya.
Pendakwah itu berkata, hiburan mengikut hukum asalnya adalah harus namun mempunyai batasnya khususnya melibatkan unsur maksiat, pergaulan bebas, lirik yang merosakkan akhlak, menimbulkan fitnah dan melalaikan.
"Permulaan anak-anak kami sebagai mahasiswa sepatutnya disambut dengan roh ilmu, nilai adab, jati diri, akhlak dan tanggungjawab.
"Kami ibu bapa tidak meminta universiti menjadi terlalu keras. Kami hanya berharap universiti menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak kami membesar sebagai manusia berilmu, berakhlak dan bermaruah," katanya.