PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarahkan mengeluarkan saman terhadap mana-mana individu yang didapati menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berdasarkan rakaman video yang tular.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan itu akan diambil tanpa mengira latar belakang politik, termasuk terhadap mereka yang terlibat dalam konvoi kempen Pakatan Harapan (PH) di Johor.
Menurutnya, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengambil serius isu yang tular membabitkan sekumpulan petugas kempen PH termasuk daripada DAP yang didakwa menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar ketika berkempen.
"Saya sudah arahkan JPJ mengeluarkan saman kepada sesiapa sahaja yang didapati melanggar peraturan ini berdasarkan bukti rakaman video yang tular, tanpa mengira latar belakang politik.
"Ini termasuk mereka yang terlibat dalam konvoi kempen PH di Johor," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Anthony berkata, pendiriannya berhubung pemakaian topi keledar adalah konsisten sejak dahulu dan pernah dibangkitkan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim hampir enam tahun lalu.
Jelas beliau, adalah tidak menjadi kesalahan menggunakan motosikal sebagai medium berkempen, namun setiap penunggang wajib mematuhi undang-undang dengan memakai topi keledar selain menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat.
"Prinsip ini terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian, termasuk calon dan petugas kempen Pakatan Harapan.
"Undang-undang keselamatan jalan raya tidak mengenal parti politik," katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP menegaskan, penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan secara adil dan saksama terhadap semua rakyat Malaysia tanpa memilih bulu.
"Saya tidak akan berkompromi dengan prinsip ini walaupun ia melibatkan rakan sekempen sendiri.
"Keselamatan nyawa rakyat mengatasi kepentingan politik mana-mana pihak," katanya.
Terdahulu tular satu video memaparkan sekumpulan petugas kempen DAP menyertai konvoi motosikal dengan kenderaan mereka dihiasi bendera PH, namun ramai daripadanya didapati tidak memakai topi keledar.