MERSING – Kerajaan Persekutuan didakwa tidak berlaku adil dalam agihan peruntukan pembangunan apabila meluluskan sekitar RM16 bilion bagi projek LRT di Pulau Pinang, yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peruntukan sebesar itu sewajarnya diagihkan secara lebih saksama mengikut keperluan semua negeri termasuk Johor yang mempunyai keluasan dan jumlah penduduk lebih besar.
"Pulau Pinang sebuah negeri kecil dengan kira-kira 1.7 juta penduduk, tetapi diberi kelulusan RM16 bilion untuk projek LRT yang merupakan sebahagian daripada PTMP.
"Adil kah? Sebuah negeri kecil dapat RM16 bilion untuk satu projek," katanya pada ceramah mega N32 Endau di Dataran Mersing Kanan pada Khamis.
Beliau mendakwa, kelulusan itu menunjukkan layanan yang tidak sama rata terhadap negeri-negeri yang tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.
Ujarnya, tindakan itu bertentangan dengan semangat sistem Persekutuan yang sepatutnya mengagihkan pembangunan secara adil kepada semua negeri.
"Dulu kita tubuhkan Persekutuan supaya kerajaan pusat kuat menghadapi cabaran negara tetapi selepas lebih 60 tahun, negeri yang tidak sealiran dengan kerajaan Persekutuan pula didakwa mula ditekan.
"Negeri yang diperintah parti kerajaan Persekutuan diberi pelbagai kelebihan, manakala negeri lain tidak menerima layanan yang sama," dakwanya.
Sanusi berkata, peruntukan RM16 bilion itu sepatutnya dimanfaatkan untuk membantu menyelesaikan masalah asas yang dihadapi semua negeri, khususnya infrastruktur bekalan air yang semakin uzur.
"Hampir semua negeri menghadapi masalah paip lama, sistem bekalan air yang memerlukan naik taraf serta kos operasi yang semakin meningkat.
"Tetapi negeri-negeri ini tidak diberi peluang yang sama, sebaliknya Pulau Pinang mendapat RM16 bilion untuk projek LRT. Ini tidak adil dan merupakan satu bentuk diskriminasi," katanya.
Beliau turut mendakwa Kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya menjadikan pemberian peruntukan sebagai modal politik kerana ia merupakan tanggungjawab yang telah dipersetujui di bawah sistem Persekutuan.
"Semua pemberian itu adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang dipersetujui dalam perjanjian. Jadi tidak timbul soal mengungkit kerana itu memang kewajipan kerajaan.
"Kalau menteri datang dan mengungkit semua itu, beritahu mereka bahawa ia memang tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, bukan modal untuk tagih sokongan," katanya.