TVET perkasa kemahiran, literasi sosial belia

Iklan
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Shamsuri Abdullah (dua dari kiri) bersama para pelajar yang mengambil bahagian dalam pameran TVET yang diadakan baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai laluan melahirkan tenaga kerja mahir, sebaliknya berperanan lebih besar dalam membentuk masyarakat yang lebih selamat, sihat, produktif dan berdaya tahan menghadapi cabaran semasa.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Shamsuri Abdullah berkata, tanggapan bahawa TVET hanya tertumpu kepada bidang seperti automotif, elektrik, kimpalan, kulinari, hospitaliti, pembinaan dan teknologi maklumat sememangnya tidak salah, namun skop sebenar TVET jauh lebih luas.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, TVET bukan sahaja menyediakan sumber manusia untuk pelbagai sektor pekerjaan, malah menjadi platform membangunkan kemahiran hidup yang diperlukan masyarakat dalam kehidupan seharian.

"Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menegaskan bahawa TVET melibatkan kemahiran untuk pekerjaan dan kehidupan.

Iklan

"Ini bermakna TVET bukan sahaja membangunkan kemahiran teknikal, malah memberi penekanan kepada kemahiran insaniah dan kemahiran hidup seperti komunikasi, etika, keselamatan, tanggungjawab sosial, keupayaan menyelesaikan masalah serta kebolehan menyesuaikan diri dengan perubahan," katanya.

Dr Shamsuri berkata, dalam dekad ini dan masa hadapan, TVET perlu menjadi medium yang mampu meningkatkan kesejahteraan hidup manusia daripada pelbagai sudut termasuk aspek fizikal, mental dan emosi.

Iklan

Menurutnya, pekerja yang berdepan tekanan atau tidak sejahtera dari segi mental dan emosi sukar melaksanakan tugas dengan berkesan kerana kurang motivasi, gagal memberi tumpuan serta lebih mudah melakukan kesilapan sehingga menjejaskan produktiviti organisasi.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) turut menegaskan bahawa isu kesihatan mental di tempat kerja perlu diberi perhatian melalui langkah pencegahan, perlindungan dan sokongan kepada pekerja.

"Ini membuktikan kesejahteraan pekerja bukan lagi isu sampingan, sebaliknya menjadi asas kepada produktiviti dan prestasi kerja yang berkualiti," katanya.

Beliau berkata, dalam konteks itu, institusi TVET mempunyai kelebihan kerana berada dekat dengan komuniti, industri dan keperluan sebenar masyarakat.

Katanya, pelbagai kursus jangka pendek, kursus mikro dan program pembelajaran sepanjang hayat boleh dirangka bagi membantu masyarakat menangani isu semasa seperti kesihatan mental, keselamatan pekerjaan, keselamatan digital, literasi kewangan, keselamatan di rumah serta pengurusan risiko harian.

Mengulas isu penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan, Dr Shamsuri berkata, ramai individu menjadi mangsa akibat kurang pengetahuan mengenai pautan palsu, penyamaran identiti, perkongsian nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC), penggunaan kata laluan yang lemah serta taktik manipulasi emosi.

"Melalui kursus etika siber, pekerja dan komuniti dapat diberikan pengetahuan serta kemahiran supaya mereka tidak mudah diperdaya atau menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian," katanya.

Beliau berkata, antara kursus yang kini ditawarkan menerusi TVET ialah Kenali Scam dan Lindungi Data Peribadi, Etika Siber untuk Komuniti, Keselamatan Telefon Pintar untuk Warga Emas serta Asas Keselamatan Digital di Tempat Kerja.

Menurutnya, kursus berkenaan memberi penekanan kepada peserta supaya lebih peka mengenal pasti panggilan telefon yang mencurigakan, mesej palsu, pautan tidak selamat serta permintaan wang daripada pihak yang menyamar.

Dalam pada itu, Dr Shamsuri berkata, pembelajaran sepanjang hayat melalui TVET turut berpotensi membantu menangani pelbagai isu sosial termasuk buli siber yang semakin membimbangkan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Beliau berkata, penggunaan telefon pintar, aplikasi pesanan, permainan dalam talian dan media sosial pada usia muda menyebabkan isu berkenaan semakin relevan.

"Tabung Kanak-kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia melaporkan bahawa buli boleh memberi kesan jangka panjang kepada mangsa, pembuli dan juga pemerhati, termasuk keresahan serta kemurungan.

"Buli juga berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk buli siber. Justeru, institusi TVET boleh mereka bentuk kursus komuniti bagi membantu kanak-kanak, ibu bapa, guru dan belia memahami adab digital, keselamatan dalam talian, kesan buli siber serta cara mendapatkan bantuan," katanya.

Tambah beliau, institusi TVET juga mampu membantu meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di rumah melalui latihan asas kepada pembantu rumah, penjaga warga emas serta ahli keluarga.

Bagi Dr. Shamsuri (dua dari kiri) TVET mampu melonjak kualiti hidup rakyat Malaysia sekaligus memajukan sektor sumber manusia.

Katanya, latihan berkaitan keselamatan penggunaan bahan pencuci, pencegahan kecederaan, keselamatan elektrik, pengendalian makanan, pertolongan cemas asas dan penjagaan warga emas mampu mengurangkan risiko kemalangan di rumah.

"Latihan mudah yang boleh diaplikasikan dalam pelbagai situasi kecemasan ini bukan sahaja mengurangkan risiko kecederaan, malah meningkatkan kualiti penjagaan dalam keluarga. Inilah kekuatan TVET sebagai pendidikan yang praktikal dan dekat dengan kehidupan harian," katanya.

Mengulas mengenai cabaran masyarakat menua, Dr Shamsuri berkata, segmen warga emas juga perlu diberikan perhatian memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah negara menua.

Beliau berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas meningkat kepada 8.0 peratus pada tahun 2025 berbanding 7.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Katanya, peningkatan itu membawa cabaran kepada sistem kesihatan, penjagaan sosial, keluarga dan komuniti, namun warga emas tidak seharusnya dilihat hanya sebagai golongan yang memerlukan bantuan.

"Mereka mempunyai pengalaman, kebijaksanaan dan potensi untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

"TVET boleh membantu warga emas meningkatkan harga diri dan kebolehupayaan melalui kursus penggunaan telefon pintar, keselamatan transaksi dalam talian, komunikasi digital, tanaman bandar, jahitan, pembuatan kek, pemprosesan makanan kecil-kecilan serta keusahawanan mikro.

"Dalam sesetengah keadaan, kemahiran ini turut membuka peluang kepada mereka menjana pendapatan melalui perniagaan kecil atau jualan komuniti," katanya.

Dr Shamsuri berkata, hala tuju TVET pada masa hadapan perlu beralih daripada sekadar mempersoalkan peluang pekerjaan kepada usaha membina kehidupan yang lebih berkualiti.

"Jika TVET berjaya membantu seseorang bekerja dengan baik, menjaga kesihatan, menggunakan teknologi secara bijak, mengelakkan risiko sosial, melindungi keluarga dan menyumbang kepada komuniti, maka TVET telah memenuhi fungsi sebenar pendidikan.

"TVET bukan sekadar laluan ke alam pekerjaan, tetapi platform penting untuk membina kemahiran, melindungi masyarakat serta memperkukuh kesejahteraan hidup," katanya.