SHAH ALAM – Kebenaran mendirikan solat Jumaat di Musolla IOI City Mall, Putrajaya hanya bersifat sementara dan akan ditamatkan sebaik sebuah masjid baharu berhampiran siap dibina serta mampu memenuhi keperluan jemaah termasuk pekerja di premis berkenaan.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, penjelasan itu dibuat susulan pelbagai reaksi timbul berhubung pelaksanaan solat Jumaat di musolla premis itu selepas kenyataan media MAIS mengenai ketetapan kebenaran solat Jumaat di surau atau musolla pusat beli-belah di Selangor dikeluarkan pada Rabu lalu.
Menurut beliau, musolla di IOI City Mall terletak dalam daerah Sepang dan berada di bawah pengawasan serta pentadbiran Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Sepang dengan kebenaran mendirikan solat Jumaat diberikan bermula 6 September 2024.
"Kelulusan itu diputuskan Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid dan Surau Negeri Selangor (JATUMS) selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Melalui pemeriksaan dan penelitian di lokasi ketika itu, didapati premis berkenaan mempunyai ramai kakitangan dan pekerja lelaki beragama Islam selain menerima kehadiran pengunjung lelaki Islam yang ramai," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Salehuddin memberitahu, kedudukan masjid berhampiran yang jauh daripada premis itu juga menyukarkan mereka untuk menunaikan solat Jumaat.
Beliau berkata, dua masjid terdekat iaitu Masjid Al-Mustaqim Kampung Dato' Abu Bakar Baginda dan Masjid UNITEN masing-masing terletak kira-kira 7.6 kilometer serta 7.7 kilometer dari pusat beli-belah berkenaan.
Katanya, kedua-dua masjid itu juga tidak mampu menampung jumlah jemaah yang ramai ketika solat Jumaat.
Beliau berkata, MAIS bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan terus memastikan pengurusan dan pelaksanaan solat Jumaat di Selangor dilaksanakan secara teratur, mematuhi kehendak hukum syarak serta selaras dengan peruntukan undang-undang demi menjaga kemaslahatan umat Islam di negeri itu.
Sinar Harian pada Rabu lalu melaporkan, Sultan Selangor tidak memberi perkenan untuk mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di Selangor diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat buat masa ini.
Ketetapan itu dibuat selaras dengan kuasa prerogatif Sultan Selangor dalam hal ehwal pentadbiran agama Islam di negeri ini.
Salehuddin