Gol lencong Mbappe pacu Perancis ke ambang final

Iklan
Gol sensasi Mbappe pada minit ke-60 meletakkan Perancis di hadapan sebelum Ousmane Dembele melengkapkan kemenangan Les Bleus enam minit kemudian. Foto Agensi

KYLIAN Mbappe bangkit daripada kekecewaan selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadi pencetus kemenangan Perancis yang menewaskan Maghribi 2-0 pada suku akhir Piala Dunia 2026 di Boston, sekali gus mara ke kelompok empat pasukan terbaik buat kali ketiga berturut-turut.

Jaringan kapten Les Bleus itu selepas rehat menjadi detik penting buat Perancis yang kini hanya selangkah untuk kembali beraksi di pentas final, selain terus memburu kejuaraan dunia ketiga selepas muncul juara pada 1998 dan 2018.

Iklan
Iklan

Mbappe berpeluang membuka tirai jaringan pada babak pertama menerusi sepakan penalti, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou selepas aksi tertangguh lebih tiga minit susulan semakan video bantuan pengadil (VAR).

Bagaimanapun, penyerang itu tidak menunggu lama untuk menebus kegagalannya apabila menghasilkan penyudah berkualiti menerusi rembatan lencong deras yang gagal dihentikan Bounou bagi gol pertama Perancis.

Iklan

Ousmane Dembele kemudian memastikan kemenangan Les Bleus menerusi jaringan kedua selepas menyudahkan serangan balas pantas, sekali gus menamatkan cabaran Maghribi yang sekali lagi mencuri perhatian sepanjang kejohanan.

Kejayaan itu menyaksikan Perancis meneruskan rentak konsisten selepas turut mara ke final pada dua edisi terakhir, dengan mereka kini berpeluang mencipta satu lagi sejarah dalam era generasi diterajui Mbappe.

Iklan

Mbappe dikeluarkan pada minit ke-77 selepas memberi isyarat kepada bangku simpanan sebelum menerima rawatan terhadap kaki kanannya.

Namun, keadaan itu tidak menghalang bintang berkenaan meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan selepas wisel penamat.

Perancis kini menunggu pemenang antara Sepanyol dan Belgium untuk menentukan lawan mereka di separuh akhir.