DI tengah-tengah ketegangan yang kembali memuncak di Selat Hormuz, satu persoalan muncul dalam kalangan pemerhati geopolitik.
Adakah serangan terhadap tiga buah kapal komersial pada Selasa lalu benar-benar didalangi oleh Iran atau ia mungkin sebahagian daripada operasi ‘false flag’ yang bertujuan mencetuskan tindak balas ketenteraan lebih besar?
Dalam sejarah konflik antarabangsa, taktik sedemikian sering digunakan untuk mengaburkan identiti pelaku sebenar dengan meletakkan kesalahan terhadap pihak lain yang dijadikan kambing hitam.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada bukti yang mengesahkan bahawa serangan tersebut merupakan operasi 'false flag'.
Amerika Syarikat (AS) bersama sekutunya dan rangkaian media Barat berterusan menuduh Iran melancarkan projektil berkenaan, namun Teheran atau Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) tidak mengeluarkan sebarang pengakuan rasmi berhubung dakwaan tersebut.
Sebaliknya, Iran menegaskan bahawa kapal-kapal berkenaan mengingkari amaran keselamatan ketika kawalan ketat dilaksanakan di laluan strategik tersebut memandangkan operasi pembersihan periuk api sedang giat dijalankan.
Di sebalik persoalan mengenai pihak yang terbabit serangan di Selat Hormuz, timbul satu lagi spekulasi berdasarkan perkembangan semasa.
Persoalannya, adakah insiden tersebut merupakan ‘rancangan jahat’ pihak tertentu termasuk Israel untuk menggagalkan proses damai antara AS dan Iran?
Teori itu muncul selepas Tel Aviv dilihat mempunyai sebab strategik untuk mengekang hubungan Washington-Teheran selepas ia dipinggirkan daripada proses damai yang menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani secara digital pada 17 Jun lalu.
Sejak sekian lama, Israel melihat program nuklear Iran, keupayaan peluru berpandu serta rangkaian proksi mereka di rantau tersebut sebagai faktor yang mengancam kestabilan serantau.
Sejak Washington dan Teheran memperlihatkan usaha memperbaiki hubungan, Tel Aviv mula gusar jika sebarang perjanjian baharu berpotensi melemahkan strategi utamanya untuk membendung pengaruh Iran.
Sekiranya serangan terhadap kapal dagang di Selat Hormuz terbukti merupakan operasi 'false flag', ia boleh memberi implikasi besar terhadap rundingan antara AS dan Iran.
Insiden sedemikian berupaya mengubah hala tuju daripada pendekatan diplomatik kepada tindak balas ketenteraan yang lebih agresif selain mengukuhkan persepsi bahawa Iran kekal menjadi ancaman kepada kestabilan serantau.
Dalam konteks ini, rundingan seterusnya dijangka terus berdepan isu-isu kompleks terutamanya melibatkan kawalan Selat Hormuz dan keselamatan laluan perkapalan.
Setiap kempen ketenteraan mempunyai implikasi strategik yang besar. Serangan terhadap kapal komersial bukan sahaja menjejaskan aset ekonomi malah berpotensi menjadi pemangkin kepada konflik yang lebih meluas.
Jika Iran didapati bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan, Washington berkemungkinan memperoleh justifikasi yang lebih kukuh bagi memperhebat tekanan ke atas Teheran termasuk melalui sekatan ekonomi tambahan dan usaha membentuk gabungan antarabangsa untuk mengawal laluan maritim penting tersebut.