HENGZHOU - Hampir 900 ekor ular termasuk ular tedung berbisa terlepas selepas sebuah ladang pembiakan reptilia di selatan China ditenggelami banjir akibat Taufan Maysak.
Kejadian berlaku pada Isnin di Hengzhou, sebuah bandar di wilayah autonomi Guangxi Zhuang selepas hujan lebat menyebabkan limpahan air daripada dua takungan berhampiran, Liulan dan Yunbiao.
Keadaan itu menyebabkan kawasan rendah ditenggelami air, selain beberapa ladang pembiakan ular di kawasan berkenaan terjejas sehingga reptilia terbabit terlepas ke kawasan sekitar.
Pihak berkuasa memaklumkan seorang penduduk tempatan dilaporkan dipatuk ular ketika operasi mengesan dan menangkap reptilia berkenaan dijalankan.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan penduduk kampung meredah air banjir paras pinggang sambil menggunakan batang buluh dalam usaha menangkap ular yang berkeliaran.
Pegawai kampung, Wu Zhi berkata, kebanyakan ular yang terlepas bukan daripada spesies berbisa, namun pasukan kecemasan seramai 10 anggota dikerahkan bagi menjalankan operasi tangkapan menggunakan jaring ikan dan alat renjatan.
Beliau turut menasihatkan penduduk supaya tidak cuba menangkap reptilia berkenaan menggunakan tangan sekiranya menemuinya di rumah atau kawasan sekitar.
Insiden itu berlaku ketika beberapa wilayah di selatan dan tengah China dilanda banjir besar yang meragut puluhan nyawa serta menyebabkan ratusan ribu penduduk dipindahkan.
Wilayah Guangxi turut mengeluarkan amaran banjir tahap tertinggi selepas paras air di puluhan sungai melepasi tahap bahaya.
Sungai Qingshui mencatat paras banjir tertinggi sejak rekod pemantauan dilakukan.
Taufan Maysak, yang melanda China sebagai ribut taufan pertama tahun ini, dikaitkan antara faktor yang memburukkan keadaan banjir di beberapa kawasan selain menyebabkan kerosakan besar dan operasi pemindahan penduduk.
Presiden China, Xi Jinping mengarahkan usaha menyelamat serta bantuan kecemasan dipertingkatkan selain meminta pihak berkuasa memperkukuh sistem amaran awal bencana.
Musim banjir China bermula secara rasmi pada 1 Julai, dengan pakar meteorologi memberi amaran perubahan iklim dan fenomena El Nino boleh meningkatkan risiko kejadian cuaca ekstrem. - Agensi