SHAH ALAM - Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa kerajaan mempertahankan pelaksanaan inisiatif LINDUNG 24 Jam dan tidak berkompromi terhadap sebarang usaha melemahkan perlindungan keselamatan serta kebajikan pekerja.
Presidennya, Datuk Mohamed Shafie Mammal berkata, inisiatif itu merupakan satu kemenangan besar kepada seluruh pekerja dan satu reformasi penting memperkukuhkan sistem perlindungan keselamatan sosial negara.
Menurutnya, perlindungan yang menyeluruh terhadap pekerja bukan lagi satu pilihan di tengah-tengah cabaran ekonomi semasa, tetapi merupakan tanggungjawab negara dan hak sewajarnya dinikmati setiap pekerja.
"UNI-MLC membantah sekeras-kerasnya kenyataan segelintir pihak di media sosial yang cuba memperkecilkan kepentingan perlindungan ini tanpa memahami realiti sebenar yang dihadapi oleh jutaan pekerja dan keluarga mereka.
"Keselamatan, nyawa dan kebajikan pekerja tidak boleh dijadikan bahan polemik atau dikompromi semata-mata untuk memenuhi naratif populis di media sosial," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tegas beliau, pelaksanaan LINDUNG 24 Jam adalah berasaskan peruntukan undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen dan kini sedang dikuatkuasakan.
Tambahnya, sebarang cadangan untuk menarik balik atau melemahkan pelaksanaannya hendaklah melalui proses perundangan yang sewajarnya serta mengambil kira kepentingan pekerja sebagai keutamaan.
"Mengundur ke belakang selepas perlindungan ini berkuat kuasa bukan sahaja akan melemahkan keyakinan rakyat terhadap sistem keselamatan sosial negara, malah memberi isyarat bahawa kebajikan pekerja boleh diketepikan apabila berdepan tekanan sentimen semasa.
"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang komited terhadap pembangunan ekonomi yang mampan dan kesejahteraan tenaga kerjanya," ujarnya lagi.
Kata Mohamed Shafie, pihaknya percaya kerajaan yang benar-benar mengutamakan kesejahteraan rakyat tidak seharusnya berundur daripada dasar yang memperkukuhkan perlindungan pekerja hanya kerana tekanan segelintir pihak.
Ujarnya, kerajaan perlu mempertahankan dasar yang memberi manfaat kepada jutaan pekerja dan keluarga mereka, kerana keselamatan sosial bukan isu populariti, tetapi merupakan tanggungjawab negara yang tidak boleh dipertikaikan.
"Sebelum pelaksanaan LINDUNG 24 Jam, ramai pekerja berhadapan dengan kesukaran apabila tuntutan akibat kemalangan ditolak kerana diklasifikasikan sebagai bukan bencana kerja dan keluarga terpaksa menanggung sendiri beban kewangan yang besar ketika berdepan musibah.
"Dengan pelaksanaan LINDUNG 24 Jam, jurang perlindungan yang sekian lama wujud berjaya dirapatkan, malah meningkatkan keyakinan tenaga kerja, memperkukuhkan produktiviti dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara mampan," katanya.
Mengulas dakwaan bahawa perlindungan tersebut bertindih dengan pelan insurans kumpulan yang disediakan majikan, beliau berkata, LINDUNG 24 Jam melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merupakan jaringan keselamatan sosial nasional, manakala insurans yang disediakan majikan hanyalah manfaat tambahan dengan skop perlindungan yang berbeza.
"Sebarang penambahbaikan terhadap mekanisme pelaksanaan boleh dibincangkan secara konstruktif melalui libat urus bersama kerajaan, PERKESO, majikan dan wakil pekerja.
"Kebajikan pekerja bukan bahan tawar-menawar, bukan isu populariti dan bukan sekadar polemik di media sosial. Ia merupakan amanah negara serta hak yang wajib dipertahankan," tegasnya.
Mohamed Shafie berkata, sebuah negara yang benar-benar maju ialah negara yang melindungi pekerjanya, bukan mengurangkan hak mereka dan LINDUNG 24 Jam merupakan pelaburan jangka panjang demi masa depan pekerja, kesejahteraan keluarga serta kemakmuran negara.