PMIUM bimbang budaya hedonisme jadi tradisi di UM

Iklan
Kenyataan dikeluarkan PMIUM. Gambar kecil: Muhammad 'Adni

KUALA LUMPUR - Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menyuarakan kebimbangan terhadap penganjuran Majlis Penutup Minggu Suai Kenal Pelajar (MSKP) Universiti Malaya yang didakwa lebih menjurus kepada suasana hiburan menyerupai konsert serta memperlihatkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

Presidennya, Muhammad 'Adni Mohmad Nasruddin berkata, pihaknya berpandangan beberapa elemen dalam penganjuran program berkenaan perlu dinilai semula bagi memastikan kesejahteraan dan keharmonian kampus terus terpelihara.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pengisian program sedemikian didakwa timbul saban tahun dan seakan-akan menjadi template yang berulang setiap kali berlangsungnya program orientasi mahasiswa baharu.

"Budaya yang bercanggah dengan syariat Islam tidak sewajarnya menjadi tradisi dan perlu dinilai semula demi kemaslahatan mahasiswa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis

Iklan

Muhammad 'Adni berkata, Islam tidak menolak hiburan, namun sebarang bentuk hiburan dan pergaulan perlu berlandaskan garis panduan supaya adab serta nilai kesopanan mahasiswa tidak terhakis.

Tegasnya, program di universiti seharusnya menjadi medium membina intelektual, akhlak, nilai dan identiti mahasiswa, bukannya membuka ruang kepada budaya hedonisme atau suasana yang membawa kepada kelalaian.

Iklan

Sehubungan itu, PMIUM menyeru semua pihak menilai semula konsep penganjuran majlis atau program supaya selari dengan identiti universiti sebagai institusi ilmu serta menghormati nilai dan budaya masyarakat Malaysia.

"Selain itu, persatuan itu menggesa pihak atasan Universiti Malaya mewujudkan garis panduan hiburan yang jelas supaya pengisian program yang disifatkan menyimpang daripada syariat Islam tidak dinormalisasikan dan menjadi tradisi setiap tahun.

"PMIUM turut menyeru mahasiswa Islam supaya tidak terjebak dalam program yang jelas melalaikan bagi memelihara maruah sebagai seorang Muslim," katanya.

Menurut Muhammad 'Adni, kenyataan itu bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya sebagai seruan supaya semua pihak bersama-sama mewujudkan suasana kampus yang sejahtera.

Beliau berkata, kejayaan sesebuah universiti bukan hanya diukur melalui kedudukan terbaik dunia, malah turut bergantung kepada pembangunan sahsiah dan nilai mahasiswa.

"PMIUM berharap setiap program yang dianjurkan selepas ini benar-benar menjadi wadah melahirkan mahasiswa yang berintelektual, berprinsip dan berakhlak mulia," tambahnya.