PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 33 individu termasuk pegawai penguat kuasa, penjawat awam, orang awam dan warga asing yang disyaki terlibat dalam pelbagai kesalahan berkaitan Akta Imigresen.
Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam kesalahan termasuk membenarkan warga asing berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah selain menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja.
Tindakan itu susulan operasi bersepadu yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM bersama SPRM negeri menerusi Op Layer di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Op Dalang di Selangor, Op Raider di Negeri Sembilan dan Op Genuine di Melaka.
Di Putrajaya, Mahkamah Majistret mengeluarkan perintah reman selama lima hari sehingga 13 Julai terhadap enam suspek bagi membantu siasatan.
Di Shah Alam pula, Mahkamah Majistret membenarkan kesemua 14 suspek direman selama empat hari sehingga 12 Julai bermula hari ini.
Sementara itu, di Seremban, mahkamah mengeluarkan perintah reman selama empat hari terhadap lima suspek, lima hari terhadap dua lagi suspek manakala dua individu lain direman sehari bagi membantu siasatan.
Di Melaka, empat suspek direman selama tujuh hari sehingga 15 Julai selepas perintah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh.
Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada 25 lelaki dan lapan wanita berusia antara lingkungan 20 hingga 50-an yang ditahan antara jam 10 pagi hingga 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di empat pejabat SPRM terlibat.
"Siasatan awal mendapati mereka dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen antara tahun 2021 hingga 2026," katanya.
Difahamkan, 10 pegawai penguat kuasa yang ditahan disyaki menerima rasuah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerja syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen selain mengeluarkan visa, pas dan permit tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.
Sumber turut memaklumkan terdapat juga kes melibatkan pengemukaan dokumen mengandungi butiran palsu bagi tujuan permohonan serta mendapatkan kuota pekerja asing.
"Risikan yang dijalankan sejak Jun tahun lalu menyasarkan seramai 43 individu di empat negeri yang dipercayai mempunyai kaitan dengan warga asing.
"Dalam operasi sama, seramai 38 individu telah ditahan, namun lima daripada mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas siasatan awal dijalankan," katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A), Seksyen 17(a), Seksyen 17(b) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dilakukan bagi melengkapkan siasatan.