DANA awam merupakan harta milik umum yang diamanahkan kepada pihak tertentu untuk diuruskan bagi kepentingan masyarakat merangkumi hasil cukai, zakat, peruntukan kerajaan, sumbangan masyarakat serta dana kebajikan.
“Ia bukan milik peribadi pihak yang menguruskannya, sebaliknya merupakan amanah yang akan dipersoalkan di hadapan ALLAH SWT.
“Justeru, penyalahgunaan kuasa atau jawatan untuk kepentingan diri daripada dana awam termasuk pengkhianatan yang besar di sisi agama,” ujar khatib ketika menyampaikan khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Mufti Perlis baru-baru ini.
ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati ALLAH dan rasul serta janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kamu, sedangkan kamu mengetahui.” (Surah al-Anfal: 27)
Menurut Jabatan Mufti Perlis, ayat ini menjelaskan bahawa mengkhianati amanah merupakan perbuatan yang dilarang keras oleh ALLAH SWT.
“Amanah yang diberikan hendaklah ditunaikan dengan penuh kejujuran dan tanggungjawab.
Ujarnya, antara bentuk penyelewengan dana awam yang sering berlaku ialah rasuah, penyalahgunaan kuasa, tuntutan palsu, penggunaan wang organisasi untuk kepentingan peribadi, manipulasi dokumen kewangan dan pelbagai lagi bentuk lain.
Perbuatan ini bukan sahaja merupakan kesalahan di sisi undang-undang, bahkan ia ialah dosa besar di sisi ALLAH SWT berdasarkan ayat ke-161 surah Ali Imran:
“Dan sesiapa yang melakukan ghulul (pengkhianatan terhadap harta amanah), nescaya dia akan datang pada hari khiamat dengan membawa apa yang dikhianatinya itu. Kemudian setiap orang akan diberikan balasan yang sempurna terhadap apa yang telah diusahakannya dan mereka tidak dizalimi.” (Surah Ali Imran: 161)
Jelas khatib, ayat ini memberi ancaman yang sangat keras kepada mereka yang mengkhianati harta amanah.
Islam mengajarkan umatnya beberapa langkah penting untuk mengelakkan diri daripada terjebak dalam dosa besar penyelewangan dana awam, antaranya ialah:
1 - Memperkukuhkan sifat amanah serta rasa takut kepada ALLAH SWT
Setiap Muslim hendaklah sentiasa menyedari bahawa ALLAH SWT melihat segala perbuatannya sama ada secara terbuka atau tersembunyi.
2 - Sentiasa bersikap jujur dalam setiap urusan kewangan
Kejujuran merupakan benteng utama yang menghalang seseorang daripada penipuan dan penyelewengan. Seseorang yang membiasakan diri dengan kejujuran akan terhindar daripada penyelewengan dan pengkhianatan.
3 - Sentiasa mengingati hisab (perhitungan amal) dan balasan hari akhirat
4 - Menolak rasuah dan segala bentuk sumber pendapatan yang haram
Penyelewengan dana awam sering bermula daripada rasuah dan sifat tamak terhadap harta dunia. Oleh itu, rasuah wajib dijauhi dalam semua bentuk sama ada memberi, menerima atau menjadi perantara kerana ia menjadi punca utama kerosakan pengurusan harta dan penyelewengan dana awam yang diamanahkan.
5 - Memastikan setiap pengurusan dan penggunaan dana awam dibuat dengan penuh teliti dan bertanggungjawab
Seseorang yang diberi amanah berkaitan harta awam hendaklah sentiasa menilai setiap keputusan dan tindakan agar tidak berlaku kesilapan atau penyalahgunaan.
Setiap tindakan berkaitan harta dan urusan awam berada dalam pengetahuan ALLAH. Maka pengurusan dana awam perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati agar tidak berlaku penyelewengan atau pengambilan yang tidak berhak.
Tanggungjawab berat
Menurut Jabatan Mufti Perlis, dana awam merupakan amanah besar dan tanggungjawab yang berat di sisi ALLAH SWT.
Tambahnya lagi, dana awam bukan sahaja tertakluk kepada audit (pemeriksaan kewangan) dan pemantauan di dunia, bahkan akan diperhitungkan di hadapan ALLAH SWT pada hari kiamat.