MPV polis dilanggar pemandu mabuk

Iklan
Tangkap layar video tular yang memaparkan kejadian di Lebuh AMJ-Semabok, Melaka Tengah pada pagi Khamis.

MELAKA - Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang menjalankan rondaan di kawasan pentadbiran Balai Polis Kandang dan Balai Polis Tiang Dua dilanggar sebuah kereta dipandu lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dalam kejadian di Lebuh AMJ-Semabok, Melaka Tengah pada pagi Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata, kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu berlaku ketika MPV polis berkenaan berhenti di bahu jalan bagi menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika itu lampu beacon dan lampu kecemasan pada MPV polis telah dipasang bagi memastikan keselamatan anggota yang sedang bertugas.

"Bagaimanapun, sebuah kereta yang datang dari arah belakang dipercayai telah melanggar bahagian sisi kanan belakang MPV PDRM tersebut.

Iklan

"Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan kemalangan hanya mengakibatkan kerosakan pada kedua-dua kenderaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati pemandu kereta berkenaan merupakan lelaki tempatan berusia 28 tahun yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

Iklan

Katanya, ujian saringan pernafasan yang dijalankan menunjukkan bacaan melebihi had yang dibenarkan, manakala saringan awal air kencing mendapati lelaki itu negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

"Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh untuk permohonan reman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.