KUALA KRAI - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mendedahkan sepanjang operasi khas Ops Luxury terdapat pemilik kenderaan mewah yang tidak memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) sehingga tiga tahun.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, namun secara keseluruhannya majoriti kenderaan mewah yang dikesan mempunyai cukai jalan tamat tempoh melebihi tiga bulan.
"Setakat ini sebanyak 100 kenderaan mewah telah dikesan melakukan pelbagai kesalahan sepanjang operasi yang dilaksanakan sejak Mac lalu.
"Majoriti kes adalah LKM tamat tempoh, manakala lesen memandu juga ada, tetapi bilangannya lebih kecil," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Sebelum itu, beliau hadir pada Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) dan Ops Bersepadu Dadah terhadap kenderaan perdagangan di Stesen Penguat kuasa (SPK) JPJ Laloh di sini.
Beliau memberitahu, operasi berkenaan bermula sejak Mac lalu dan sehingga kini jumlah kenderaan yang dikesan sudah mencecah 100 unit.
Ujar beliau, antara model yang paling banyak dikesan melakukan kesalahan ialah Toyota Alphard, Toyota Vellfire, BMW dan Mercedes-Benz.
Malah katanya, operasi itu turut mengesan dua buah Porsche yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.