MIHAS 2026 dijangka jana jualan RM4.5 bilion

Iklan
MIHAS ke-22 bakal berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dari 23 hingga 26 September 2026.

KUALA LUMPUR - Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 dijangka menjana jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM4.50 bilion, termasuk jualan eksport menerusi Program Penyumberan Antarabangsa (INSP).

Seiring sasaran tersebut, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengalu-alukan penyertaan syarikat-syarikat Malaysia bagi merebut peluang perniagaan baharu di peringkat global dengan mendaftar INSP.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof berkata, sejak MIHAS diperkenalkan pada tahun 2004, INSP telah menjana lebih RM20.62 bilion jualan eksport kepada syarikat Malaysia.

Menurutnya, pencapaian tersebut turut melibatkan penyertaan hampir 8,000 pembeli antarabangsa yang memberi manfaat kepada 10,600 penjual Malaysia menerusi 67,200 sesi padanan perniagaan yang tersusun.

Iklan

"Bagi tahun ini, kami menyasarkan penyertaan kira-kira 300 pembeli, termasuk 50 pembeli premium, mencerminkan komitmen kami untuk menarik pembuat keputusan berkualiti tinggi serta mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan kepada syarikat Malaysia.

"Kami juga menyasarkan jualan eksport sebanyak RM2 bilion di bawah komponen INSP bagi MIHAS 2026.

Iklan

"Sehingga kini, kami telah menerima minat daripada lebih 500 pembeli antarabangsa merentasi 55 ekonomi dan kami menggalakkan syarikat Malaysia mendaftar lebih awal bagi memaksimumkan peluang padanan perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

MIHAS ke-22 bakal berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dari 23 hingga 26 September 2026.

Berlandaskan momentum kukuh INSP MIHAS 2025 yang menjana jualan sebanyak RM3.63 bilion, edisi tahun ini menyaksikan minat tinggi daripada pembeli antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan MIHAS sebagai platform perdagangan halal global yang terkemuka.

INSP MIHAS menghubungkan pembeli antarabangsa yang telah melalui proses pra-kelayakan dengan pengeksport produk dan perkhidmatan halal Malaysia menerusi sesi padanan perniagaan secara bersemuka yang telah dijadualkan lebih awal merentasi pelbagai sektor halal utama.

Memandangkan slot pertemuan dengan pembeli adalah terhad dan diperuntukkan melalui proses padanan yang tersusun, syarikat Malaysia digalakkan mendaftar lebih awal menerusi portal dalam talian.

INSP MIHAS 2026 menampilkan kategori utama produk dan perkhidmatan termasuk hasil pertanian, pakaian, busana dan aksesori, minuman, pendidikan, aksesori fesyen dan tekstil, kasut, francais, hadiah, cenderamata dan barang kemas, sarung tangan, perkhidmatan kewangan Islam, teknologi maklumat dan komunikasi, logistik, jentera dan peralatan, pembungkusan dan bekas, produk minyak sawit, produk haiwan peliharaan, farmaseutikal, kelengkapan dandanan diri dan kosmetik serta makanan sedia dimakan.

Selain segmen makanan dan minuman halal yang konvensional, edisi tahun ini turut menyaksikan peningkatan minat dalam sektor perkhidmatan.

Program INSP tahun ini telah menarik penyertaan pembeli dari 55 ekonomi yang berbeza.

Pengeksport Malaysia boleh mendaftar menerusi portal dalam talian INSP MIHAS dan Platform Perdagangan Digital MADANI (MDTP) sebelum 31 Julai 2026 bagi memanfaatkan salah satu inisiatif padanan perniagaan paling berimpak yang ditawarkan oleh MIHAS.

Abu Bakar berkata, 15 peratus daripada pembeli yang menunjukkan minat setakat ini terdiri daripada pembeli yang kembali menyertai program tersebut.

"Ini membuktikan keyakinan berterusan terhadap pengeksport Malaysia serta nilai yang terus mereka tawarkan di pasaran global," ujarnya.