Polis akui masih ada kelompongan pembelian senjata tajam dalam talian

Iklan
Shazeli dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Khamis. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

SHAH ALAM - Polis mengakui masih terdapat kelompongan dari segi penguatkuasaan terhadap pembelian senjata tajam secara dalam talian oleh golongan bawah umur, sekali gus membuka ruang kepada remaja mendapatkan barangan tersebut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, walaupun beberapa platform e-dagang telah mengetatkan syarat pembelian senjata tajam dan kerajaan sedang memperkenalkan akta berkaitan akses media sosial bagi golongan bawah umur, pelaksanaan penguatkuasaan secara menyeluruh masih memerlukan masa.

Iklan
Iklan

"Pada pandangan saya, kita masih dalam proses memastikan mereka yang di bawah umur tidak mempunyai akses, selaras dengan hasrat kerajaan menerusi penggubalan akta baharu.

"Dalam tempoh peralihan ini, mungkin terdapat ruang yang membolehkan suspek memperoleh senjata tersebut secara dalam talian," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini pada Khamis.

Iklan

Terdahulu, media melaporkan suspek berusia 15 tahun yang menikam rakan sekolahnya di Banting, Kuala Langat memperoleh senjata itu menerusi pembelian dalam talian.

Dalam pada itu, beliau menafikan kunjungan dan rondaan di sekolah-sekolah di Selangor adalah berkurangan yang berkemungkinan berlakunya kejadian tikaman dalam sekolah.

Iklan

Katanya, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dan pasukan rondaan terus menjalankan pemantauan sejak arahan dikeluarkan Ketua Polis Negara tahun lalu tanpa sebarang pengurangan.

"Malah di Selangor, kunjungan dan rondaan polis ke sekolah adalah sangat baik serta semakin meningkat. Tiada istilah rondaan dikurangkan atau menjadi rutin semata-mata.

"Dalam kes ini, kemungkinan suspek mengambil kesempatan apabila wujud peluang. Tetapi untuk mengatakan polis mengurangkan rondaan, saya nafikan. Perkara ini juga diperakui pihak Jabatan Pendidikan Negeri Selangor," katanya.

Menurut beliau, polis turut menjalinkan kerjasama erat dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor di peringkat kontinjen dan daerah bagi berkongsi maklumat berkaitan aspek keselamatan sekolah.

"Cuma mungkin terdapat sedikit kelewatan dari segi penyampaian maklumat," ujarnya.