JOHOR BAHRU – Polis Johor menerima sebanyak 884 permohonan permit bagi penganjuran ceramah dan aktiviti kempen politik Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dalam tempoh 24 jam pada Rabu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, daripada jumlah itu 838 permit telah diluluskan.
Katanya secara kumulatif, pihaknya menerima 4,368 permohonan permit bagi tujuan itu sepanjang tempoh 27 Jun hingga Rabu dan 4,053 permohonan diluluskan selepas memenuhi syarat yang ditetapkan.
"Situasi keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses PRN Johor ke-16 setakat ini adalah terkawal dan berada pada tahap baik.
"Kesemua program dan aktiviti politik yang diadakan dipantau polis bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Ab Rahaman berkata pihaknya menerima sebanyak 77 laporan polis dan membuka 22 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh itu.
Katanya bagi tempoh 7 Julai hingga Rabu pula, pihaknya menerima 17 laporan polis dengan empat kertas siasatan dibuka melibatkan pelbagai kesalahan berkaitan pilihan raya.
"Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 membabitkan kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan.
"Selain itu, satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan kesalahan fitnah dan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
"Dua lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda," katanya.