ALOR SETAR – Majikan diingatkan supaya tidak menghalang atau menyukarkan pekerja menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu ini, sebaliknya memberi tempoh munasabah bagi membolehkan mereka keluar mengundi tanpa berdepan tekanan atau tindakan disiplin.
Pensyarah Kanan Pengurusan Sumber Manusia, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Luqman Mahmud berkata, pemberian ruang kepada pekerja untuk mengundi bukan sekadar amalan terbaik di tempat kerja, malah merupakan kewajipan yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
Menurutnya, Subseksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dengan jelas mewajibkan setiap majikan memberikan tempoh yang munasabah kepada pekerja yang berdaftar sebagai pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada hari pengundian.
"Tempoh munasabah itu meliputi masa yang mencukupi untuk pekerja pergi ke pusat mengundi, membuang undi dan kembali semula ke tempat kerja tanpa perlu tergesa-gesa.
Beliau berkata, majikan yang gagal mematuhi peruntukan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk didenda sehingga RM5,000 atau dipenjara selama setahun, atau kedua-duanya sekali.
Menurutnya, tanggungjawab majikan menjadi lebih penting apabila ramai pekerja, khususnya di sektor swasta dan perkhidmatan bekerja di luar kawasan tempat mereka berdaftar sebagai pengundi.
Katanya, keadaan itu memerlukan sebahagian pekerja merancang perjalanan pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab mengundi sekali gus memerlukan sedikit kelonggaran daripada majikan.
"Tanpa persefahaman dan fleksibiliti daripada majikan, ada pekerja yang mungkin terpaksa memilih antara tanggungjawab kepada negara atau menjaga sumber pendapatan mereka.
"Situasi ini secara tidak langsung boleh menafikan hak demokrasi rakyat, terutama apabila setiap undi memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan sesuatu pilihan raya," ujarnya.
Luqman berkata, majikan boleh mengambil beberapa pendekatan yang lebih fleksibel bagi memastikan pekerja dapat mengundi tanpa menjejaskan operasi syarikat.
Antaranya ialah memberi waktu rehat yang sesuai kepada pekerja yang mengundi berhampiran tempat kerja, menyediakan cuti berganti atau membenarkan penggunaan cuti tahunan bagi pekerja yang perlu pulang ke kawasan mengundi.
Beliau berkata, pendekatan sedemikian bukan sahaja mematuhi kehendak undang-undang, malah mencerminkan keprihatinan organisasi terhadap kebajikan pekerja serta tanggungjawab sosial korporat.
"Apabila pekerja diberi peluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi tanpa rasa bimbang kehilangan pendapatan atau dikenakan tindakan disiplin, mereka akan lebih komited dan menghargai majikan.
"Dalam jangka panjang, keadaan ini mampu mewujudkan persekitaran kerja yang lebih positif serta meningkatkan produktiviti organisasi," katanya lagi.
Beliau turut menggesa semua pihak termasuk majikan, kerajaan dan kesatuan sekerja memainkan peranan masing-masing bagi memastikan tiada pekerja tercicir daripada menunaikan hak mengundi hanya kerana kekangan pekerjaan.
"Setiap undi mempunyai nilai yang besar dalam sistem demokrasi negara. Justeru, janganlah pekerjaan menjadi penghalang kepada rakyat menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara," katanya.
PRN Johor pada kali ini melibatkan sebanyak 2,727,926 pemilih yang layak mengundi di 1,140 pusat mengundi di seluruh negeri tersebut.
Sebanyak 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).